Sabtu, 7 Disember 2019 | 3:22pm
Perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) mendapat sambutan hangat.
Perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) mendapat sambutan hangat.

PETRONAS LTdL 2020 janjikan keistimewaan

KUALA LUMPUR: Perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) sudah memasuki tahun ke-24 penganjuran dengan impaknya boleh dirasai bukan saja peminat sukan berbasikal tetapi juga rakyat Malaysia tidak kira warga kota atau desa.

Jelas, perlumbaan yang mendapat sokongan tajaan daripada PETRONAS bermula tahun ini boleh dianggap sinonim dengan masyarakat Malaysia dan semakin dekat di hati rakyat.

Gelagat penyokong ketika kelompok paloton melalui kawasan kampung.
Gelagat penyokong ketika kelompok paloton melalui kawasan kampung.

Diilhamkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, matlamat asal LTdL adalah untuk memperkenalkan Langkawi dan Malaysia sebagai hab sukan dan pelancongan serta membuktikan kemampuan Malaysia menganjurkan sukan bertaraf antarabangsa.

Sejak itu, LTdL yang kini dikenali sebagai PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020 sudah banyak meninggalkan impak positif, terutamanya mengambil kira 232 peringkat pelumbaan yang pernah dianjurkan di pelbagai lokasi di seluruh tanah air.

Sebahagian pelumba Le Tour de Langkawi (LTdL).
Sebahagian pelumba Le Tour de Langkawi (LTdL).

LTdL bukan saja membuka peluang kepada warga desa menyaksikan aksi pelumba dunia yang berhempas pulas memastikan kemenangan masing-masing di laman rumah mereka sendiri, malah mereka sendiri berpeluang menjana pendapatan tambahan apabila LTdL tiba di kampung mereka.

LTdL juga menjadi pemangkin kepada pelumba negara seperti Anuar Manan dan Mohd Harrif Salleh yang sudah berjaya mengukir nama di pelbagai pertandingan, termasuklah di LTdL. Nama-nama yang kini besar di dunia seperti Paolo Bettini, Chris Horner, Anthony Charteau, Egan Bernal, Steven Kruijswijk serta Caleb Ewan juga bermula dari LTdL.

Penyokong mengambil kesempatan berselfie dengan dengan pelumba tempatan.
Penyokong mengambil kesempatan berselfie dengan dengan pelumba tempatan.

Menjelang edisi ke-2020, PETRONAS LTdL 2020 yang kini diiktiraf dalam kategori ProSeries oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), dijangka menarik pasukan terbaik dari World Tour, Pro Continental serta Continental dan pasukan kebangsaan dari serata Eropah, Amerika Utara, Amerika Selatan dan Asia.

Penganjur LTdL dilaporkan menjanjikan pasukan dan pelumba ternama sempena sambutan jubli perak LTdL. Antara yang sedang diintai ialah enam pasukan World Tour, pasukan 10 terbaik Pro Continenal dan lebih kurang lapan pasukan Continental.

Ini akan memberikan pendedahan yang tidak ternilai bagi negara, terutamanya di sekitar laluan pelumbaan sejauh 1095.7 kilometer (km). Tumpuan besar pastinya akan diberikan kepada negara, apabila mengambil kira jumlah peminat pelumbaan basikal yang diletakkan sekitar 3.5 bilion orang, kebanyakannya di Eropah dan Amerika Utara serta China.

PETRONAS LTdL 2020 juga adalah lebih bermakna lagi apabila ia turut dianjurkan di Malaysia Timur di samping penganjuran acara baru iaitu Malaysian International Criterium Race dan Malaysian International Classic Race.

Di bawah sepanduk tema "Sports Unite, Cycling Contributes”, PETRONAS LTdL 2020 menjemput rakyat dan peminat sukan tanah air untuk turut serta menyertai pelbagai acara sampingan yang sudah diaturkan di sepanjang lokasi permulaan dan penamat di setiap peringkat seperti di Kuching, Kuala Terengganu, Kerteh, Temerloh, Kuala Lumpur, Putrajaya, Genting Highlands, Kuala Kubu Baharu, Bandar Meru Jaya, Taiping, Pulau Pinang, Bagan, Alor Setar dan Pulau Langkawi, bermula 6 Februari 2020.

Berita Harian X