Sabtu, 7 Disember 2019 | 5:20pm
ATLET Malaysia, Selvam Prem Kumar berjaya mendapat pingat emas dengan menumpaskan Atlet Filipina, Montalvo Norman Marz dalam acara Karate Kumite 55KG , Sukan SEA Filipina 2019 di Pusat Dagangan Dunia (WTC). NSTP/Osman Adnan

Prem puas dendam berbalas

MANILA: Atlet karate negara, S Prem Kumar berjaya memulihkan semula maruahnya yang tercalar apabila memenangi pingat emas acara kumite bawah 55 kilogram selepas menewaskan wakil Filipina, Normanz Marz Montalvo 6-1 dalam aksi final, hari ini.

Edisi dua tahun di Kuala Lumpur atlet negara itu dimalukan dengan kekalahan di laman sendiri kepada lawan dari negara yang sama ketika separuh akhir.

Namun, kali ini giliran Prem Kumar pula yang memalukan atlet Filipina di hadapan penonton tuan rumah yang hadir di Pusat Dagangan Dunia.

AKSI atlet karate negara, Selvam Prem Kumar (kanan) menentang atlet karate Filipina, Norman Marz Montalvo dalam aksi final acara kumite lelaki bawah 55 kilogram pada Sukan SEA 2019 di Pusat Dagangan Dunia Filipina. - Foto BERNAMA

"Saya sangat gembira kerana Sukan SEA yang terakhir (2017 di Kuala Lumpur) saya tewas kepada atlet Filipina di tempat saya sendiri. Jadi, ini memang sasaran saya apabila tiba di sini.

"Saya tewas di tempat sendiri tetapi saya ambil semula di tempat Filipina. Saya tidak peduli pun dengan sokongan padu yang diberikan penonton kepada lawan saya kerana saya anggap mereka sebenarnya memberi sokongan kepada saya.

"Itu membuatkan saya bertambah yakin. Saya memang sudah bersedia sepenuhnya aspek mental dan fizikal untuk saingan kali ini," katanya yang tewas kepada John Paul Bejar dalam aksi separuh akhir di Kuala Lumpur sekali gus sekadar meraih gangsa.

Prem Kumar, berkata dia juga gembira apabila dapat meneruskan legasi seniornya seperti R Loganesha, R Puvaneswaran dan P Ramasaniv yang berjaya memenangi emas dalam acara sama di pentas Sukan SEA.

Puvaneswaran paling cemerlang apabila tiga kali memenangi emas di temasya dwitahunan itu bermula 2001 di Kuala Lumpur diikuti 2007 di Korat dan 2009 di Vientiane.

Loganesha menang pada edisi 2011 di Jakarta manakala Ramasaniv mengungguli saingan edisi 2005 di Manila.

"Saya perlu berterima kasih kepada mereka kerana selepas mereka bersara barulah saya dapat peluang mengambil bahagian dalam acara ini. Mereka adalah senior yang hebat dan jaguh di Asia.

"Saya harap boleh mengikut jejak mereka dan saya mahu buktikan kemampuan saya," katanya yang memenangi gangsa acara kumite bawah 60kg pada Sukan Asia 2018 di Jakarta.

Berita Harian X