Sabtu, 7 Disember 2019 | 5:48pm
PERSEKUTUAN Gimnastik Malaysia (MGF).

Malaysia kemuka bantahan kepada FIG

MANILA: Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) sudah mengemukakan bantahan kepada Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) susulan pengadilan yang berat sebelah dan wujud penipuan pada saingan Sukan SEA 2019 di Kompleks Sukan Rizal Memorial.

Presiden MGF, Rachel Lau, berkata biarpun skuad gimrama negara berjaya menyambar empat daripada lima emas dipertandingkan, hari ini, namun kemenangan atlet tuan rumah, Daniel Dela Pisa menerusi aparatus gegelung menimbulkan persoalan.

Atlet itu dilihat tidak berhak meraih emas disebabkan kesilapan yang dilakukannya ketika beraksi.

Malah, Rachel turut mempersoalkan keputusan awal juri yang hanya mengangkat Koi Sie Yan sebagai pemenang emas dalam acara riben biarpun kongsi mata dengan seorang lagi atlet negara, Izzah Amzan.

Selepas bantahan dilakukan kontinjen negara, juri akhirnya memutuskan memberi dua emas kepada Sie Yan dan Izzah.

"Saya rasa bangga dengan pencapaian atlet kita, tapi bagimanapun wujud beberapa unsur penipuan serta keputusan berat sebelah juri yang banyak memihak tuan rumah.

"Kami sudah menghantar bantahan kepada FIG (Persekutuan Gimnastik Antarabangsa) kerana ia adalah kes yang amat serius.

"Mungkin disebabkan kita adalah kuasa besar dalam sukan gimnastik ini, jadi mereka sengaja bersikap tidak adil kepada kita. Bagi saya biarlah atlet bertanding secara sihat atas semangat kesukanan," katanya.

Sementara itu, pandangan sama turut dikongsi Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang kecewa dengan sikap tuan rumah.

Bagaimanapun, Norza berharap atlet negara kekal fokus di sebalik insiden yang timbul itu.

"Apa yang kita tengok hari ini, kita merasakan bahawa satu pengadilan yang agak mencurigakan.

"Namun walau apa yang berlaku kita akan menyelesaikannya cara berhemah. Saya ingin ucapkan tahniah kepada Rachel kerana melakukan pencapaian yang sangat baik.

"Pencapaian hari ini akan mencetus satu kebangkitan untuk kita memberi inspirasi kepada atlet-atlet lain supaya dalam apa saja keadaan, atlet kita tetap fokus dalam tanggungjawab masing-masing," kata Norza.

Skuad gimnastik negara melakar kejayaan gemilang di bumi Filipina apabila membawa pulang sembilan emas termasuk lima daripada acara gimastik artistik.

Berita Harian X