Sabtu, 7 Disember 2019 | 6:37pm
SKUAD ping pong negara meraih pingat gangsa dalam acara beregu lelaki di Sukan SEA 2019 di Filipina

Skuad ping pong negara raih 2 gangsa, lepasi sasaran

KUALA LUMPUR: Skuad ping pong negara merangkul dua gangsa pada temasya Sukan SEA 2019 di Filipina, sekali gus melepasi sasaran satu pingat berkenaan yang ditetapkan Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM).

Selain itu, kejutan turut dicipta dua beregu lelaki apabila Choong Javen/ Amos Ling Yi Heng dan Muhammad Ashraf Haiqal/Wong Qi Shen, masing-masing menewaskan pilihan utama dari Singapura, Clarence Chew/Ethan Poh (3-2) serta pilihan kedua dari Thailand, Tanviriyavechakul/Wisutmaythang (3-2) pada aksi suku akhir, semalam.

Kejayaan itu membolehkan mereka mencipta sejarah apabila dua beregu lelaki mara ke separuh akhir acara ping pong buat kali pertama pada temasya Sukan SEA, sekali gus mengesahkan dua pingat gangsa buat kontinjen negara.

Rentak cemerlang mereka tersekat pada separuh akhir apabila Choong Javen/Amos Ling tunduk di tangan pilihan ketiga dari Vietnam, Doan Ba Tuan Anh/Nguyen Anh Tu (1-3) manakala Muhammad Ashraf/Wong Qi Shen gagal menyaingi kehebatan pilihan keempat dari Singapura, Chua Josh Shao Han/Pang Yew En Koen apabila tewas 2-3.

“Walaupun kedua-dua gandingan itu bukan pilihan, namun mereka menunjukkan persembahan yang bersemangat. Kami berpuas hati dengan peningkatan persembahan mereka. Tiga daripadanya iaitu Amos, Javen dan Qi Shen semuanya berusia di bawah 20 tahun.

“Jadi, masa depan ping pong negara sememangnya cerah,” kata Naib Presiden TTAM, Dr Chin Kuen Liang.

Sementara itu, sandaran Malaysia untuk meraih podium lebur apabila gandingan Karen Lyne/ Ho Ying tersungkur di peringkat suku akhir apabila ditewaskan pilihan utama, Feng Tianwei/Lin Ye (1-3).

“Mereka mendapat ‘bye’ pada pusingan 16 terbaik namun laluan tidak memihak kepada mereka apabila bertemu pilihan utama dari Singapura di peringkat suku akhir,” kata Dr Chin.

Berita Harian X