Sabtu, 7 Disember 2019 | 7:55pm
ATLET Taekwando negara Nurul Hidayah Abdul Karim (kanan) dan Jason Loo Jun Wei beraksi dalam acara Recognized Poom Sae Kategori Berpasangan Campuran pada Sukan SEA Manila 2019 di Kompleks Sukan Rizal Memorial. - Foto BERNAMA

Enam bulan diganding, sudah raih emas

MANILA: Gandingan taekwando negara, Jason Loo Jun Wei-Nurul Hidayah Abdul Karim tidak menunggu lama untuk mencetuskan impak biarpun baru enam bulan digandingkan apabila memenangi emas acara poomsae Sukan SEA 2019 di Kompleks Sukan Rizal Memorial, hari ini.

Mereka mengungguli saingan apabila mengumpul 8.28 mata bagi mengatasi gandingan Filipina, Rinna Babanto-Jacob Mella Dustin yang mencatat 8.10 mata untuk berpuas hati meraih perak.

Gangsa dikongsi bersama anatara Pattarapong Sengmueang-Phenkanya Phaisankiattikun dari Thailand dengan 8.09 mata dan pasangan Indonesia, Kadek Dwipayana-Defia Rosmaniar yang mengumpul 7.87 mata.

Mengulas mengenai kejayaan itu, Hidayah berkata dia sebelum ini beraksi dalam acara beregu wanita tetapi jurulatih memutuskan untuk menggandingkan dirinya dengan Jason dalam acara beregu campuran pada Jun lalu.

"Ketika Sukan SEAKuala Lumpur saya tidak dapat pingat dalam acara beregu wanita.

"Namun, untuk Sukan SEA Filipina ini, jurulatih mahu saya main dalam kategori campuran. Pada awalnya saya digandingkan dengan orang lain tetapi Jun lalu jurulatih cuba menggandingkan saya dengan Jason

"Saya tidak jangka kami berjaya sampai ke tahap ini dan ini adalah kemenangan pertama kami sebagai rakan segandingan," kata atlet berusia 21 tahun dari Sarawak itu.

Bagi Jason, dia gembira dengan kejayaan ini apatah lagi ia adalah penampilan pertamanya pada temasya dwitahunan itu biarpun mengakui berasa sedikit gementar.

"Memang agak gementar kerana saya tiada pengalaman beraksi di Sukan SEA. Tapi dengan kata-kata semangat dan tunjuk ajar Hidayah, saya dapat atasi rasa gugup itu," kata Jason.

Berita Harian X