Ahad, 8 Disember 2019 | 11:19pm
IZZAH Amzan

Izzah tekad pamer aksi terbaik di Kejohanan Asia

SEPANG: Walaupun mengakui berhadapan laluan sukar yang hampir mustahil untuk ditempuhi dalam mendapatkan slot ke Sukan Olimpik 2020, namun itu tidak mematahkan semangat gimnas negara, Izzah Amzan untuk mempamerkan aksi terbaik pada kejohanan kelayakan di Kejohanan Asia tahun depan.

Atlet gimnastik berirama berusia 19 tahun itu berkata beliau tidak meletakkan sebarang sasaran spesifik untuk Kejohanan Asia yang akan berlangsung di Tokyo, Jepun pada Mei.

"Tiada sasaran untuk Kejohanan Asia nanti kerana kami tidak tahu peraturan yang ditetapkan lagi. Lagi pun hampir mustahil untuk memperoleh slot ke Sukan Olimpik kerana hanya juara akan mendapat peluang.

"Secara peribadinya, saya hanya mahu perbaiki ranking dan skor saya. Walaupun tahu peluang saya sukar tapi itu tidak mematahkan semangat saya, ia memberi motivasi kepada saya kerana kita tidak tahu apa akan jadi.

"Gimnas hanya perlu pastikan mereka pamerkan aksi terbaik," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Sukan SEA 2019 di Filipina, hari ini.

Pada aksi di temasya terbesar Asia Tenggara itu, Izzah meraih dua pingat emas dalam acara reben dan bola serta pingat perak dalam acara gelung.

Katanya selain Kejohanan Asia, beliau dan pasukannya akan turut mengambil bahagian dalam siri Piala Dunia yang akan membuka tirai pada April depan.

Mengulas mengenai kejayaan ratu gimnastik artistik negara, Farah Ann Abd Hadi yang menjadi gimnas pertama negara meraih slot ke Sukan Olimpik, Izzah mengakui beliau dan rakan-rakannya menjadikan Farah Ann sebagai idola dan penanda aras walaupun berbeza jenis sukan.

"Bagi kami semua Farah Ann ialah seorang gimnas yang kami sentiasa jadikan contoh walaupun sukan yang berbeza. Farah Ann beri inspirasi kepada kami untuk kerja lebih keras kerana tiada yang mustahil. Farah telah buktikan," katanya.

-- BERNAMA

Berita Harian X