Isnin, 9 Disember 2019 | 3:11pm
ATLET Malaysia, Izzah Amzan (kanan) bersama Koi Sie Yen bergambar bersama pingat yang dimenangi mereka. - Foto Osman Adnan

Syed Saddiq pertahan emas Izzah

KUALA LUMPUR: "Tidak masuk akal".

Itu reaksi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung penarikan pingat emas gimnas negara, Izzah Amzan yang dimenanginya dalam acara riben pada Sukan SEA 2019, Sabtu lalu.

Apa yang lebih mengecewakan, Syed Saddiq berkata beliau sendiri mengalungkan emas yang dimenangi Izzah ketika itu.

"Mengikut buku teknikal, penganjur pun membenarkan pingat emas Izzah. Saya tidak akan bertolak ansur tentang ini.

"#TeamMas telah protes dan tuntut keadilan," katanya dalam Twitter mengulas laporan BH bertajuk "Penganjur tarik balik pingat emas Izzah' di sini hari ini.

Isu penarikan pingat emas Izzah mencetuskan tanda tanya selepas kedudukan pingat terbaru dalam laman web rasmi Sukan SEA 2019 Filipina menunjukkan Izzah sekadar diberikan pingat perak biarpun dia diumumkan sebagai pemenang bersama rakan senegara, Koi Sie Yan.

Pada Sabtu lalu, Kemenangan Izzah dan Sie Yan pada Sabtu lalu mencetuskan kontroversi hingga memaksa campur tangan ketua kontinjen Malaysia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria untuk membuat bantahan.

Kontroversi tercetus selepas Sie Yan diumumkan sebagai pemenang oleh juri meskipun Sie Yan dan Izzah mengumpul mata yang sama 15.200 mata.

Berdasarkan peraturan pertandingan, atlet yang mengumpul jumlah mata sama perlu diberi kemenangan bersama seperti yang berlaku pada temasya sebelum ini dengan Sie Yan pernah berkongsi emas dengan rakan senegara, N Shasangari Sivaneswari bagi acara individu keseluruhan pada temasya 2015 di Singapura.

Hasil bantahan yang dilakukan, Sie Yan dan Izzah akhirnya diumumkan sebagai pemenang  emas sementara atlet Thailand, Nat Kulsanawong meraih gangsa (14.050 mata).

 

Berita Harian X