Isnin, 9 Disember 2019 | 3:21pm
PENERJUN lelaki negara, Ooi Tze Liang beraksi dalam acara 3 meter papan anjal individu lelaki pada Sukan SEA 2019 di Filipina. - Foto Aizuddin Saad

Atlet terjun sahut cabaran layak Olimpik Tokyo

SEPANG: Atlet terjun negara sedia menyahut cabaran jurulatih Christian Brooker yang mahukan lebih ramai penerjun, layak ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Sehingga kini hanya penerjun wanita iaitu Pandelela Rinong, Leong Mun Yee, Wendy Ng Yan Yee dan Nur Dhabitah Sabri menempah tiket ke temasya sukan terbesar dunia itu.

Namun sehingga kini masih belum ada penerjun lelaki layak beraksi di Tokyo 2020 dan Kejohanan Terjun Piala Dunia FINA 2020 di Jepun dari 21 hingga 27 April ini, menjadi medan terakhir untuk mendapatkan slot itu.

Penerjun lelaki negara seperti Ooi Tze Liang dan Chew Yiwei ternyata tidak patah semangat, sebaliknya lebih bermotivasi untuk menyahut cabaran jurulatih, terutamanya selepas berjaya merangkul pingat emas di Sukan SEA 2019 di Filipina.

Tze Liang berjaya mengekalkan pingat emas acara 3m papan anjal individu lelaki manakala gandingannya bersama Yiwei dalam acara 3m papan anjal seirama lelaki, turut mendapat kilauan emas.

"Apa yang dikatakan jurulatih betul-betul memberikan kami motivasi, untuk pamer aksi lebih baik dari di Sukan SEA. Kami akan cuba yang terbaik kerana saya rasa peluang untuk layak ke Sukan Olimpik sentiasa ada dan masih ada.

"Penerjun kena pastikan apa yang telah diajar sepanjang tempoh sebelum ini, dipraktikkan dengan sebaik mungkin nanti. Sekarang cuma tinggal lebih kurang empat bulan sebelum aksi Piala Dunia.

"Kami kena pastikan keadaan fizikal berada dalam keadaan terbaik, tanpa sebarang kecederaan yang boleh merencatkan persembahan kami nanti," kata Tze Liang ketika ditemui di KLIA.

Tze Liang, 26, mengakui merasa teruja untuk beraksi di Piala Dunia, terutamanya apabila diberikan tugas dan cabaran besar untuk dilaksanakan.

Namun, dalam masa sama atlet berasal dari Pulau Pinang itu berkata beliau turut merasa debaran untuk beraksi di kejohanan itu.

Kali pertama Tze Liang beraksi di Sukan Olimpik adalah pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Sementara itu, Yiwei yang mahu memastikan impiannya ke Sukan Olimpik buat pertama kali tercapai, akan memastikan dirinya mendapat latihan secukupnya tanpa mengalami kecederaan.

-- BERNAMA

Berita Harian X