Isnin, 9 Disember 2019 | 4:33pm
ATLET Malaysia, R Sharmendran beraksi menentang atlet Vietnam, Chu Duc Thinh dalam acara Karate bawah Kumite 75KG di Pusat Dagangan Antarabangsa (Manila). - Foto Osman Adnan

Sharmendran dedikasi emas karate kepada 2 jurulatih

MANILA: Skuad karate negara menutup tirai kempen Sukan SEA 2019 dengan pungutan keseluruhan empat emas termasuk tambahan dua pada hari terakhir saingan di Pusat Dagangan Dunia, di sini, hari ini.

Dua emas terbaru hadir menerusi kejayaan R Sharmendran yang mengungguli saingan kumite lelaki bawah 75 kilogram (kg) dan acara kata berpasukan lelaki.

Ketika ditemui, Sharmendran mendedikasikan kemenangannya buat dua jurulatih, Andre Vasiljevas dan S Mahendran yang menjadi tulang belakang dirinya terutama selepas mengalami kecederaan serius pada Disember tahun lalu.

"Pertama saya nak ucapkan terima kasih kepada jurulatih saya (Vasiljevs). Beliau tolong saya berlatih, bawa menyertai pertandingan dan tinggal bersamanya di Latvia selama empat bulan dan sekejap di Phuket (Thailand).

"Beliau sanggup ambil cabaran untuk melatih saya (walaupun cedera awal tahun) dan juga jurulatih Mahendran yang selalu ambil tahu perkembangan saya.

"Dua jurulatih ini adalah istimewa dan saya mahu ucapkan berbanyak terima kasih kepada mereka," katanya yang menewaskan Songvut Muntaen dari Thailand 3-0 dalam aksi final.

Sementara itu, acara kata berpasukan lelaki menyaksikan Malaysia mencatat 25.40 mata bagi meraih emas manakala Indonesia di tangga kedua dengan catatan 23.98 mata dalam final.

Selain empat emas, skuad karate turut memenangi tiga perak menerusi M Poovanesan dalam acara kumite wanita bawah 61kg; Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik bagi acara kumite lelaki bawah 67kg selain acara kata berpasukan wanita.

Berita Harian X