Isnin, 9 Disember 2019 | 7:05pm
Izzah Amzan bersama pingat yang dimenanginya. - Foto BERNAMA

`PHISGOC, pulangkan emas Izzah'

MANILA: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mahu Jawatankusa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC) memulangkan semula pingat emas yang ditarik balik daripada atlet gimrama negara, Izzah Amzan secepat mungkin.

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata tindakan itu tidak seharusnya berlaku kerana sebarang perubahan atau bantahan perlulah dilakukan sebelum majlis penyampaian pingat berlangsung.

“Apabila saya diberitahu berita ini malam tadi saya sudah bercakap dengan Ketua Pegawai Operasi PHISGOC, Ramon Suzara dan mengatakan yang kita tidak gembira dengan perkara ini.

“Pertama adalah kerana apa saja bantahan atau perubahan dari segi pingat perlu dilakukan sebelum majlis penyampaian pingat.

“Majlis penyampaian pingat sudah pun diadakan penganjur dan menekankan yang atlet kita mengutip mata yang sama dan seharusnya mendapat emas.

“Ini juga berasaskan perkara yang sama berlaku ketika saya menjadi ketua kontinjen pada edisi 2015 di Singapura. Perkara sama berlaku dan pihak penganjur memberi kedua-dua emas (yang dimenangi) itu.

“Jadi, saya harap PHISGOG dapat buat keputusan secepat mungkin kerana bagi kita dalam sukan gimnastik kali ini biarpun ada beberapa keputusan yang kita tidak puas hati tetapi atas semangat setiakawan kita tidak membuat bantahan.

“Namun, apa yang berlaku ini sangat mengecewakan dan untuk berlaku adil kepada kedua-dua atlet, emas itu perlu dipulangkan semula,” kata Norza ketika ditemui hari ini.

Terdahulu, kontinjen negara menerima tamparan selepas emas dimenangi secara Izzah dalam acara riben, Sabtu lalu ditarik balik biarpun diumum sebagai pemenang bersama dengan rakan senegara, Koi Sie Yan.

Sebaliknya, Izzah sekadar diberikan perak berdasarkan kedudukan pingat terbaru yang disiarkan di laman web rasmi Sukan SEA 2019 Filipina.

Berita Harian X