X
Selasa, 10 Disember 2019 | 10:57am
Gambar fail, Kontinjen Malaysia diketuai pembawa bendera, atlit bowling Rafiq Ismail bersama Ketua Kontinjen Datuk Megat Zulkarnain Omar Din serta 90 atlet Malaysia memasuki ruang utama pada majlis perasmian Sukan SEA Filipina 2019 di Filipina pada 30 November lalu. - Foto Osman Adnan
Gambar fail, Kontinjen Malaysia diketuai pembawa bendera, atlit bowling Rafiq Ismail bersama Ketua Kontinjen Datuk Megat Zulkarnain Omar Din serta 90 atlet Malaysia memasuki ruang utama pada majlis perasmian Sukan SEA Filipina 2019 di Filipina pada 30 November lalu. - Foto Osman Adnan

Misi cari 70 emas gagal

 

CLARK: Impian kontinjen negara untuk membawa pulang 70 pingat emas dari bumi Filipina sudah tertutup rapat.

Berbaki satu hari sahaja lagi sebelum Sukan SEA Filipina melabuhkan tirai esok, Malaysia masih memerlukan 19 emas untuk mencapai sasaran diumumkan sendiri Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini.

Ia berdasarkan kedudukan pungutan pingat setakat semalam yang menyaksikan Malaysia sekadar memungut 51 emas, 51 perak dan 64 gangsa.

Jika sasaran 70 emas itu gagal dicapai, ia sekali gus bakal menyaksikan Sukan SEA kali ini akan menjadi temasya keempat terburuk dalam sejarah 20 tahun terakhir penyertaan Malaysia.

Lebih mengecewakan, prestasi buruk itu hadir di kala Malaysia membawa kontinjen kedua terbesar bertanding di luar negara selepas edisi Korat 2007 dengan penyertaan 773 atlet membabitkan 54 daripada 56 acara dipertandingkan.

Namun, dikhabarkan 70 emas itu hanyalah sasaran selamat ketika timbul ura-ura bahawa apa yang dirumuskan daripada pembentangan Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) adalah lebih tinggi daripada itu.

Antara penyumbang utama kegagalan itu adalah memanah yang hanya mendapat satu emas daripada lima disasarkan, selain tenpin boling sekadar dua daripada empat pingat emas manakala skuad pelayaran “lemas” di lautan apabila pulang tanpa emas.

Bagaimanapun, kontinjen Malaysia dilihat sekurang-kurangnya berupaya menambah empat lagi pingat emas daripada 47 yang ditawarkan pada hari terakhir, hari ini dan esok dengan dua daripadanya menerusi acara final hoki dalam dewan lelaki dan wanita.

Sementara dua lagi dijangka hasil sumbangan Muhammad Irfan Shamsuddin menerusi acara lempar cakera dan Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang).

Sebagai rekod, sepanjang 10 temasya terakhir hanya dalam tiga edisi menyaksikan Malaysia mencatat purata pungutan pingat emas rendah daripada 50 masing-masing di Myanmar 2013, Laos 2009 dan Vietnam 2003.

Berita Harian X