Sabtu, 14 Disember 2019 | 9:03pm
Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin presiden baharu MPM. - NSTP/Owee Ah Chun

Megat D Shahriman presiden baharu MPM

 

KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang baharu, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin bersedia melepaskan jawatan lain disandangnya ketika ini untuk memberi fokus sepenuhnya kepada MPM.

Bagaimanapun, Megat D Shahriman yang sah dipilih selaku Presiden MPM pada Mesyuarat Agung Tahunan hari ini mahu melunaskan tanggungjawabnya sebagai Ketua Kontinjen Negara (CDM) di Sukan Para ASEAN terlebih dahulu sebelum 'menggugurkan' jawatan dalam beberapa persatuan sukan diwakilinya.

"Saya akan lepaskan persatuan lain tetap saya akan umumkan selepas Sukan Para ASEAN. Saya mahu fokus sebagai CDM terlebih dahulu dan selepas itu, saya akan lakukannya.

"Sebenarnya saya memang boleh urus (banyak persatuan) kerana saya ada sumber dan kakitangan yang ramai. Tetapi kita boleh berikan peluang pada orang lain.

"Mungkin ada orang yang lebih pandai dan lebih hebat daripada saya, saya benarkan. Saya lagi suka kerana kerja saya akan lebih senang," katanya selepas AGM.

Antara jawatan disandang Megat D Shahriman adalah Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) dan Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA).

Pemilihan Megat D Shahriman sekali gus 'menutup' konflik dalaman melanda MPM sebelum ini dan dia mengakui tanggungjawab kini terletak di bahu barisan baharu bagi memastikan MPM sentiasa telus.

"Semuanya berjalan lancar pada hari ini dan terima kasih pada semua pihak yang membantu. Tanggungjawab kini terletak pada kami supaya dapat menjalankan tugas dengan baik.

"Ini barisan yang baharu dan saya masih lagi kerdil dalam bidang sukan dan MPM tetapi saya dikelilingi orang yang terbaik. Jadi saya rasa kami mampu lakukan yang terbaik dan mengotakan apa yang dijanjikan," katanya.

Berita Harian X