Isnin, 16 Disember 2019 | 10:31pm
MOHD Anwar (tiga kanan), Zulkifly (dua kanan), Arep (kanan) dan Meng Loon (tiga dari kiri) bersama trofi Terbuka Malaysia pada sidang media di Kota Permai Golf & Country Club, Shah Alam, hari ini.

Golf Terbuka Malaysia kembali selepas 4 tahun

SHAH ALAM: Kejohanan golf berprestij di negara ini, Terbuka Malaysia akan kembali dianjurkan selepas kira-kira empat tahun menyepikan diri dengan Kota Permai Golf & Country Club, di sini, dipilih sebagai lapangan pertandingan.

Mengumumkan perkembangan itu di sini, hari ini, Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata kejohanan edisi ke-55 itu akan diadakan pada 5 hingga 8 Mac tahun depan dengan menawarkan hadiah sebanyak AS$1 juta (RM4.18 juta).

Katanya, peminat golf akan berpeluang menyaksikan pemain terbaik negara ini bersaing dengan pemain Jelajah Asia dan Jepun dalam kejohanan yang diiktiraf oleh Asian Tour dengan rakan kongsi Japan Golf Tour Organisation (JGTO).

“Saingan Terbuka Malaysia sememangnya adalah satu acara golf profesional yang amat berprestij dan bertahan lama di rantau ini,” katanya sambil mengumumkan pelantikan Winning Matters Sdn Bhd sebagai promoter bagi Terbuka Malaysia 2020.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Zulkifly Said; Pesuruhjaya dan Ketua Pegawai Eksekutif The Asian Tour, Cho Mint Thant; Ketua Pegawai Eksekutif Winning Matters Sdn Bhd, Arep Kulal dan Pengarah Operasi Kelab, Perbandaran dan Pengurusan Hartanah Kota Permai Golf and Country Club, Tan Meng Loon.

Golf Terbuka Malaysia kali terakhir diadakan di Kuala Lumpur Golf and Country Club (kini TPC Kuala Lumpur) di sini, pada 2015 dengan jaguh India, Anirban Lahiri muncul sebagai pemenang.

Mohd Anwar berkata sebanyak 40 slot disediakan kepada pemain tempatan dengan 30 dikhaskan untuk pemain golf profesional negara ini yang layak manakala 10 lagi untuk pemain amatur tempatan daripada kalangan pemain kebangsaan dan remaja tempatan terbaik.

Katanya, penganjur juga sudah berjaya mendapat pengesahan penajaan daripada beberapa pihak dan ia bakal diumumkan dalam tempoh terdekat.

Mohd Anwar turut mengesahkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima pelantikan sebagai Penaung Diraja MGA.

Berita Harian X