Ahad, 22 Disember 2019 | 9:13pm

UniKL gementar kelibat Dhaarma Raj

KUALA LUMPUR: Kehadiran pengendali berpengalaman, Dhaarma Raj Abdullah bersama pasukan Kelab Hoki Terengganu (THT) sedikit sebanyak membuat Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 'menggeletar' menjelang musim baharu Liga Hoki Malaysia 2020 yang dijadual membuka tirainya dengan saingan Piala Sumbangsih, 10 Januari ini.

Malah detik tewas di tangan pasukan THT pada perlawanan Piala Sumbangsih menerusi penentuan shoot-out 3-1 selepas terikat 2-2 aksi sebenar musim lalu juga dilihat masih menghantui UniKL.

"Jurulatih Dharmaa seorang yang berpengalaman. Dia pernah membawa KLHC (Kuala Lumpur Hockey Club) meraih banyak piala dan kami perlu berhati-hati dengannya kerana dia tahu bagaimana corak (permainan) kelab di Malaysia ini," kata penolong jurulatih UniKL, Saiful Azhar Afandi.

"Setiap perlawanan pertama sememangnya sukar dalam setiap liga besar. Kami perlu menstabilkan pasukan untuk perlawanan pertama nanti. Tahun lalu kami terikat seri dan kalah menerusi penentuan shoot-out dan tahun ini kami mahu merampas (Piala Sumbangsih) semula."

Pemain UniKL, Ashran Hamsani. - NSTP/Effendy Rashid
Pemain UniKL, Ashran Hamsani. - NSTP/Effendy Rashid

Sementara itu bagi pemain UniKL, Mohd Ashran Hamsani menyifatkan pertemuan semula dengan THT ini sebagai pentas untuk menebus kekecewaan musim lalu yang baginya mampu memberi motivasi awal buat mengharungi kempen 2020.

"Alhamdulillah. UniKL sudah berkumpul dalam satu pasukan sejak kira-kira seminggu yang lalu. Ada muka baharu yang menyertai pasukan dan kami cuba untuk mencari persefahaman dengan secepat mungin sebagai persediaan mengharungi perlawanan pertama ini.

"Bagi kami, Piala Sumbangsih kali ini begitu penting kerana tahun lalu kami tewas menerusi shoot-out. Saya berharap untuk dapatkan kemenangan Piala Sumbangsih kerana itu adalah langkah pertama kami untuk ke pusingan seterusnya dan juga liga," kata Ashran.

Berita Harian X