Sabtu, 4 Januari 2020 | 7:35pm
PRESIDEN Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin. NSTP/Saifullizan Tamadi.
PRESIDEN Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin. NSTP/Saifullizan Tamadi.

MPM ucap takziah kematian Muhammad Ata

 

KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Muhammad Ata Maarof yang maut dalam tragedi kebakaran di Taman Pagoh Jaya, Muar, pagi tadi.

Allahyarham adalah atlet angkat berat orang kurang upaya (OKU) yang membantu Johor memenangi pingat gangsa dalam acara angkat berat kategori 65 kilogram di Para Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 di Ipoh, tahun lalu.

"Salam takziah kepada keluarga Allahyarham, kami di MPM begitu terkejut dan satu kehilangan besar kepada sukan negara.

"Saya dimaklumkan Muhammad Ata berada di bawah program Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Johor sejak tiga tahun lalu," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Dalam kejadian sekitar pukul 11.45 pagi itu, Muhammad Ata, 28, yang berada di bahagian dapur rumah berkenaan gagal menyelamatkan diri.

Difahamkan, Allahyarham yang bekerja di Kuala Lumpur sedang bercuti selama lima hari.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip mengesahkan kejadian dan buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Megat mengesahkan pihaknya akan menyalurkan khairat kematian dan sumbangan kepada anggota keluarganya.

"Selepas kami balik daripada mesyuarat (dengan Presiden Persekutuan Sukan Para ASEAN) di Bangkok pada Selasa ini, Insya-Allah MPM akan memberi sumbangan kepada keluarga," katanya.

Berita Harian X