Jumaat, 10 Januari 2020 | 10:44am
Hamilton bersama pelajar yang menyertai kempen F1 di Sekolah.
Hamilton bersama pelajar yang menyertai kempen F1 di Sekolah.

Malaysia mampu lahirkan ramai jurutera F1

Abu Dhabi: Impian melihat Malaysia memiliki lebih ramai jurutera membangunkan enjin Formula Satu (F1) bukan lagi mustahil apabila pelajar di negara ini semakin bagus dalam mendalami teknologi canggih itu.

Malah, pencapaian empat sekolah - Pusat GENIUSpintar Negara, Selangor; SMK Sultanah Hajjah Kalsom, Pahang; SMK Agama Johor Bahru, Johor dan Garden International School, Kuala Lumpur mara ke pusingan akhir F1 in School World Finals di Abu Dhabi 2019 jelas membuktikan perkembangan minda pelajar negara ini setanding di peringkat antarabangsa.

Lebih membanggakan apabila pasukan PETRONAS Accura Racing berjaya merangkul The Best International Colloboration Team Award, iaitu penggabungan atau kolaborasi dua hala membabitkan Malaysia dan China.

Malah, pasukan Arrow Racers dari Greece yang disokong Mercedes-AMG PETRONAS Motorsport turut berjaya memenangi Anugerah Kereta Terpantas (Fastest Car Award).

Seperti sedia maklum, pencapaian rakyat Malaysia sudah terbukti apabila memiliki Jurutera Bendalir Trek (Trackside Fluid Engineer), Ahmad Nasri Mohd Shafie dari Pulau Pinang yang bertugas bersama pasukan Mercedes-AMG PETRONAS dan bergerak ke seluruh dunia sepanjang perlumbaan F1.

Berbalik kepada F1 in School atau F1 di Sekolah, pelajar terbabit memiliki beberapa skop tugas serta menggalas peranan besar seperti pengurus pasukan, jurutera pembuatan, jurutera reka bentuk, pereka grafik dan pengurus sumber.

Antara cabaran yang perlu ditempuhi mereka adalah berkaitan fizik, aerodinamik, reka bentuk, pembuatan, penjenamaan, grafik, penajaan, pemasaran, kepimpinan dan kerja berpasukan, kemahiran media serta strategi kewangan.

Justeru, pelajar terbabit perlu menerapkannya secara praktikal, imaginatif, kompetitif dan menarik perhatian umum.

Pengurus pasukan Vencera Racing, Wardina Inani Khairudin yang turut bertindak sebagai jurutera pembuatan menyifatkan saingan secara keseluruhan di Abu Dhabi agak sengit terutama membabitkan kelajuan kereta yang dicipta.

Di Abu Dhabi, Vencera Racing berada dalam kedudukan ketiga terbaik bagi kategori Anugerah Pemikiran Inovatif (Innovative Thinking Award).

“Ini pengalaman berguna untuk masa depan, apatah lagi ia adalah kali pertama saya mendapat peluang begini. Saya bersama lima rakan sepasukan lain agak teruja dan berbangga dengan pencapaian ini.

“Saya memang meminati reka bentuk dan bekerjasama bersama jurutera reka bentuk untuk belajar perkara berkaitan. Insya-Allah pada masa depan saya dan rakan akan cuba menjadi sukarelawan dalam pertandingan F1 sebenar,” kata Wardina, 16, yang kini menuntut di Pusat Genius @ Pertama Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Wardina yang berasal dari Selama, Perak adalah anak keempat daripada empat beradik dan berasal daripada keluarga sederhana dengan bapanya bekerja sebagai buruh, manakala ibunya suri rumah tangga.

Di sebalik pencapaian dilakar di Abu Dhabi, pujian bagaimanapun perlu diberikan kepada PETRONAS yang sudi menjadi penaja korporat kepada pasukan Malaysia.

Bagi Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Zahariah Abdul Rahman, konsep F1 di sekolah memberikan peluang kepada rakyat Malaysia amnya menghargai perlumbaan berprestij berkenaan.

“Secara jujurnya ia dapat memupuk golongan muda berdikari selain membina keyakinan diri sejak di peringkat sekolah selain bantu loncatan untuk menjadi individu berkebolehan,” katanya.

Berita Harian X