Selasa, 14 Januari 2020 | 10:46pm

Borgward BX5 jadi tarikan Ansara Golf Masters

KUALA LUMPUR: Kenderaan utiliti sukan (SUV) Borgward BX5 SUV bakal menjadi antara tarikan utama pada acara Ansara Golf Masters anjuran Persatuan Ansara Golf Malaysia (AGAM) yang akan berlangsung di Sungai Long Golf and Country Club, Ahad ini.

Malah, bukan setakat SUV terbabit namun driver Callaway, set golf iron Callaway serta dua set golf Fourteen itu akan dibawa pulang oleh mana mana peserta yang berjaya melakar pukulan selubang pada pertandingan itu sekali gus menambahkan lagi kerancakan saingan terbabit.

Penyelaras program yang juga Presiden AGAM, Chairil Anwar Sabar menjelaskan penganjuran acara Masters Event julung kalinya itu mendapat sambutan menggalakkan selepas bakal menampilkan lebih 100 pemain golf yang kebanyakannya adalah bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MARA) seluruh negara.

"Empat kategori dipertandingkan iaitu Medal A, B, C, Senior dan juga Kategori Jemputan selain beberapa hadiah untuk ' Bulls Eye', 'Nearest to Pin', 'Nearest to Line' dan Drive Terpanjang.

"Ansara Golf Masters akan menjanjikan cabaran yang berbaloi dan peserta bukan sahaja boleh memenangi hadiah menarik namun cabutan bertuah turut disediakan seperti TV Pintar, penghawa dingin, peralatan dan aksesori golf dan pelbagai barangan elektrik," katanya.

Ansara Golf Masters dijayakan menerusi sokongan daripada beberapa pihak antaranya Electrica Technology, Technology Park Malaysia, Aerodyne, Unifi & UZMA Group, Celcom, Tranquil Golf & Deleum, Jenk Construction, Daikin dan Inaris selain rakan media iaitu TV3 dan Berita Harian.

Sebagai rekod, AGAM ditubuhkan pada 2015 untuk menghimpunkan pemain golf dalam kalangan bekas pelajar MRSM dan menjadi medium buat mereka berkongsi minat dalam sukan golf.

Bukan setakat menghimpunkan pemain golf namun AGAM bergiat aktif selepas berjaya menganjurkan hampir 50 pertandingan dan program pembangunan golf buat ahli rasmi dan juga ahli gabungan mereka.

Berita Harian X