Rabu, 29 Januari 2020 | 6:44pm
Gambar fail, Presiden persatuan KANU, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin. - Foto Hazreen Mohamad
Gambar fail, Presiden persatuan KANU, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin. - Foto Hazreen Mohamad

'Mahu burukkan nama saya'

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menyifatkan tindakan 13 ahli gabungan badan induk itu menghantar petisyen undi tidak percaya terhadapnya ke Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) sebagai percubaan memburukkan namanya.

Megat yang baharu memimpin MASCA selama 10 bulan berkata, beliau bersifat terbuka dengan tindakan itu, apatah lagi secara peribadi sudah bersedia melepaskan jawatan nombor satu itu pada bila-bila masa.

Malah, beliau menegaskan sedang berusaha menyelesaikan beberapa isu penyelewengan membabitkan beberapa individu dalam persatuan berkenaan.

"Berkenaan kenyataan media Naib Presiden 1 MASCA, Raja Shahrul Azremel Raja Shahar bahawa wujud penyalahgunaan akaun oleh pihak saya, selaku presiden saya tiada masalah untuk sesiapa saja meneliti akaun MASCA.

"Saya mampu memberi jaminan saya tidak mengambil sebarang wang MASCA untuk kegunaan peribadi atau melakukan transaksi meragukan. Hanya pihak terdesak yang akan membuat tuduhan sedemikian.

"Malah, saya menganggap tuduhan ini tidak berasas dan untuk pengetahuan semua saya sedang melaksanakan audit persatuan terutamanya membabitkan Kejohanan Kanu Polo Asia 2017 di Batu Pahat, Johor yang menelan belanja hampir setengah juta ringgit tetapi tidak pernah diaudit dan dibentangkan di dalam mana-mana Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).

"Beberapa bahan bukti juga ditemui antaranya pembelian Kayak CPS Plastik Polo Kayak sebanyak 50 biji bernilai RM50,000 ketika Kejohanan Kanu Polo Asia 2017," kata Megat dalam satu kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Terdahulu, sembilan daripada 13 ahli gabungan mengambil tindakan menghantar petisyen undi tidak percaya terhadapnya ke PPS atas beberapa alasan termasuk transaksi akaun meragukan dan percanggahan perlembagaan.

Ahli gabungan itu juga mempersoalkan mengenai dua jawatan utama, setiausaha kehormat yang tidak diisi, selain pemilihan tidak telus untuk mengisi jawatan bendahari yang didakwa mempunyai talian persaudaraan.

Selain petisyen itu, ahli gabungan terbabit turut menuntut satu Mesyuarat Agung Khas (EGM) diadakan dalam tempoh 30 hari.

"Ternyata usaha saya selama ini membangunkan sukan kanu sia-sia dan saya tidak mempunyai masalah meletakkan jawatan pada bila-bila masa kerana saya tahu saya bekerja untuk atlet dan persatuan ini," tambah Megat.

Berita Harian X