X
Ahad, 2 Februari 2020 | 11:02am
Ketua Pegawai Eksekutif/Presiden Iskandar Investment Berhad, Datuk Ir Khairil Anwar Ahmad (barisan belakang, empat dari kiri) melancarkan kolam pemanas badan di Kompleks Sukan EduCity, baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif/Presiden Iskandar Investment Berhad, Datuk Ir Khairil Anwar Ahmad (barisan belakang, empat dari kiri) melancarkan kolam pemanas badan di Kompleks Sukan EduCity, baru-baru ini.

EduCity umum fasiliti baharu

ISKANDAR PUTERI : EduCity Iskandar Malaysia Sdn Bhd (EduCity) mengumumkan fasiliti terkini di Pusat Akuatik - kolam renang untuk sesi pemanas badan sepanjang 25 meter sebagai tambahan kepada kolam bersaiz Olimpik bersaiz 50 meter sedia ada.

Kolam pemanas badan berkenaan dibina dengan beberapa kemudahan terkini termasuk sistem catatan masa dan papan skor sekali gus menjadikan antara yang terbaik di rantau Asia Tenggara selain menepati keperluan bagi penganjuran kejohanan antarabangsa.

“Projek ini bermula pada tahun 2019 dan kami amat berbangga kerana ia siap seperti dijadualkan pada tahun 2020 yang akan menyaksikan penganjuran SUKMA Johor pada Julai ini,” kata Pengerusi EduCity dan Presiden/CEO Iskandar Investment Berhad, Datuk Ir Khairil Anwar Ahmad.

“Kami meletakkan sasaran untuk menjadi tuan rumah bola sepak dan sukan bola jaring, pada masa sama pembukaan kolam ini akan menjadi kemudahan terbaik buat atlet berlatih sebelum menyertai kejohanan besar.”

Ia juga sebahagian inisiatif pihak EduCity untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pembelajaran terbaik untuk menarik pelajar antarabangsa menimba ilmu di negara ini.

“Pada masa sama kami juga menjalin kerjasama baik dengan organisasi sukan dan kelab untuk menjalankan klinik serta kejohanan dengan fokus kepada atlet remaja,” kata Pengarah Urusan EduCity, Wan Ahmad Saifuddin Wan Ahmad Radzi.

“Malah pada tahun 2019 kami menganjurkan 60 acara dengan 80 peratus adalah acara sukan.”

Ketika ini kolam renang bersaiz Olimpik di Pusat Akuatik sudah digunakan lebih 30,000 perenang profesional dan atlet tempatan serta antarabangsa sejak dibuka kepada umum pada tahun 2012.

Pusat Akuatik ini juga sudah menganjurkan beberapa kejohanan renang serta klinik berkaitan sukan berkenaan menerusi Program Pembangunan Renang EduCity (ESDP) pada tahun 2019.

Kolam renang dan kolam pemanas badan yang baharu di Pusat Akuatik ini juga mendapat pensijilan daripada Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA).

Berita Harian X