Khamis, 6 Februari 2020 | 1:16pm
Harrif yang muncul naib juara pada saingan pemanas badan LTdL - perlumbaan Kriterium Antarabangsa - di Kota Kinabalu, Sabah hari ini. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Harrif yang muncul naib juara pada saingan pemanas badan LTdL - perlumbaan Kriterium Antarabangsa - di Kota Kinabalu, Sabah hari ini. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Harrif naib juara pemanas badan LTdL 2020

KOTA KINABALU: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Harrif Saleh menggenggam azimat 'lawan tetap lawan' bagi mengharungi saingan sebenar PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 yang dijadual berlangsung di Kuching, Sarawak, esok.

Harrif yang muncul naib juara pada saingan pemanas badan LTdL - perlumbaan Kriterium Antarabangsa - di Kota Kinabalu, Sabah hari ini berkata, dia sama sekali tidak menyangka untuk berada di pentas podium apatah lagi berdepan cabaran daripada pelumba pasukan berstatus WorldTour.

"Bagi saya saingan sukar sikit tetapi saya tak kisah (pelumba) WorldTour atau apapun. Saya lawan tetap lawan," kata Harrif yang menamatkan perlumbaan berkenaan dengan catatan masa 1 jam 42:01 saat dalam perlumbaan yang menyaksikan penamat beramai-ramai.

Perlumbaan kriterium sejauh 80 kilometer (km) itu dimenangi pelumba daripada pasukan WorldTour, NTT Pro Cycling Team, Maximilian Walscheid manakala Blake Quick (St George Continental Cycling Team) melengkapkan pentas podium di tempat ketiga.

"Saya tak jangka kerana dapat dilihat semua sama saja. Apapun alhamdulillah dapat berada di podium," kata Harrif yang pada edisi sebelum ini memenangi perlumbaan Peringkat 2 dari Senawang ke Dataran Pahlawan, Bandaraya Melaka.

"Pada awal saingan saya mengekori Matteo Pelucchi daripada pasukan Bardiani CSF Faizane. Kalau pada tahun lalu, dia banyak memenangi peringkat perlumbaan di LTdL. Saya cuba mengekori dia dan di akhir-akhir perlumbaan, dia seperti tidak boleh ke depan lagi.

"Jadi saya mengambil keputusan untuk pergi ke depan. Selepas memintasnya, mungkin (masa) agak lewat dengan jarak untuk saya melakukan pecutan. Sekiranya sedikit cepat, mungkin saya boleh memenangi saingan hari ini," kata Harrif.

PETRONAS LTdL memasuki Sabah dan Sarawak buat kali pertamanya tahun ini dengan kali terakhir pada 1997 dan selepas 23 tahun, sambutan yang diterima begitu positif daripada masyarakat Sabah.

"Alhamdulillah, semua memberi sokongan dan galakan," kata Ketua Pegawai Operasi (COO) Human Voyage sdn Bhd yang bertindak selaku penganjur, Shahaizereen A Hamid. "Kami mempunyai perancangan bersama Kementerian Belia dan Sukan dan juga kerajaan negeri Sabah untuk mengembangkan lagi perlumbaan LTdL di sini."

Info keputusan

1. Maximilian Walscheid (NTT) 1:42:01 saat

2. Mohd Harrif Saleh (TSG) 1:42:01s

3. Blake Quick (STG) 1:42:01s

4. Matteo Pelucchi (BCF) 1:42:02s

5. LECROQ Jérémy Lecroq (VCB) 1:42:02s

6. Dusan Rajovic (NDP) 1:42:02s

7. Taj Jones (ACA) 1:42:02s

8. Riccardo Minali (NDP) 1:42:02s

9. Luca Pacioni (ANS) 1:42:02s

10. Giovanni Lonardi (BCF) 1:42:02s

Berita Harian X