Selasa, 11 Februari 2020 | 9:06pm
PEMENANG yang mengekalkan jersi kuning, pelumba Itali dari Team Sapura Cycling, Danilo Celano pada Majlis Penyampaian Pingat peringkat kelima Le Tour de Langkawi 2020 di Bandar Meru Raya. - Foto BERNAMA
PEMENANG yang mengekalkan jersi kuning, pelumba Itali dari Team Sapura Cycling, Danilo Celano pada Majlis Penyampaian Pingat peringkat kelima Le Tour de Langkawi 2020 di Bandar Meru Raya. - Foto BERNAMA

Celano puas pertahan Jersi Kuning

IPOH: Penyarung Jersi Kuning PETRONAS, Danilo Celano berpuashati dapat mengekalkan status pendahulu keseluruhan seperti diinginkan pasukannya, Team Sapura Cycling selepas Peringkat 5 PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 berakhir Bandar Meru Raya, di sini, hari ini.

Pelumba dari Itali itu merampas jersi berkenaan di Peringkat 4 dari Putrajaya ke Genting Highlands dari tangan Yevgeniy Fedorov (Vino Astana Motors) semalam dan ketika ini mendahului carta keseluruhan dengan catatan 17 jam 48 minit 10 saat - 30 saat di depan pencabarnya dari Kazakhstan itu.

"Tentunya saya gembira apabila kami mencapai sasaran diletakkan pasukan iaitu mengekalkan Jersi Kuning PETRONAS ini," kata Celano.

"Hari ini peloton agak gementar kerana semua pelumba pecut mahukan penamat beramai-ramai tetapi kami mempunyai sebuah pasukan yang kuat dan tidak berada dalam bahaya."

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Harrif Saleh memenangi Peringkat 5 dengan catatan 3:39:42s manakala Max Walscheid (NTT Pro Cycling Team) berada di tangga kedua.

Melengkapkan pentas podium bagi peringkat ini adalah pelumba Bardiani CSF Faizane, Matteo Pelucchi.

Peringkat 6 esok ini dijadual berlangsung sejauh 150.9 kilometer (km) dari Taiping ke Pulau Pinang, membabitkan tiga zon pecutan di Bagan Serai, Parit Buntar dan Balik Pulau.

Dua zon pendakian turut bakal mencabar pelumba iaitu di Teluk Kumbar dan Teluk Bahang.

"Kami akan memberi perhatian (untuk esok) bersama pasukan dan sudah pasti sasaran kami adalah untuk mengekalkan Jersi Kuning PETRONAS ini sehingga ke penghujung saingan PETRONAS LTdL," katanya.

Sementara itu dalam sidang media selepas perlumbaan, Walscheid yang masih menyandang Jersi Hijau PETRONAS (Raja Pecut) menyifatkan Hariff menunjukkan pecutan menarik pada penamat peringkat.

"Satu pecutan yang menarik, saya laju tetapi dia lebih laju, dia seorang yang sangat bagus," kata Walscheid yang memenangi Peringkat 3 sejauh 162.5km dari Temerloh ke Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia masih dipegang Fedorov dengan catatan kelebihan 1:22s daripada penghuni tangga kedua dari Jepun, Hideto Nakane manakala Jersi Hijau PETRONAS (Raja Pecut) masih disandang Walscheid.

Pelumba tempatan yang juga rakan sepasukan Celano, Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff masih mengekalkan Jersi Merah selaku Raja Bukit.

Berita Harian X