Selasa, 11 Februari 2020 | 9:11pm
PRESIDEN Majlis Paralimpik Malaysia Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin ketika sidang media berkenaan isu penundaan Sukan Para ASEAN 2020 Filipina, di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. - Foto BERNAMA

Sukan Para ASEAN tangguh lagi

KUALA LUMPUR: Penularan wabak novel Koronavirus memaksa Sukan Para ASEAN ke-10 di Filipina sekali lagi ditangguhkan ke satu tarikh baharu yang belum ditetapkan.

Perkara itu disahkan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin selepas menerima sepucuk surat daripada Presiden Jawatankuasa Paralimpik Filipina, Michael Barredo.

Dalam surat berkenaan, tertulis bahawa penangguhan itu selaras dengan cadangan Suruhanjaya Sukan Filipina yang berpendapat langkah itu perlu atas faktor 'keselamatan'.

"Saya difahamkan mereka (delegasi Filipina) sudah ke Bangkok bertemu Presiden Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF), Major Jeneral Osoth Bhavilai untuk mengusulkan beberapa perkara.

"Perkara pertama diusulkan adalah mereka mengesahkan akan menunda sekali lagi Sukan Para ASEAN tanpa menetapkan tarikh atau jangka masa. Kedua, mereka akan memaklumkan (mengenai tarikh baharu) kepada semua negara 60 hari sebelum temasya," katanya ketika ditemui di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Beliau hadir ke stadium terbabit bagi menonton perlawanan Liga Hoki Wanita Malaysia 2020 antara pasukannya Hockademy menentang Sabah yang berkesudahan dengan kemenangan 9-0 buat Hockademy.

Filipina satu-satunya negara di luar China dan Hong Kong yang mencatatkan kematian akibat virus itu.

Temasya itu pada awalnya dijadualkan berlangsung daripada 18 hingga 24 Januari, namun ditangguhkan kepada 20 hingga 28 Mac berikutan masalah kewangan dan logistik.

Senario terbaharu menyaksikan Filipina mungkin akan menganjurkan Sukan Para ASEAN 2020 pada Mei atau Jun depan.

Jelas Megat, pihaknya menerusi Setiausaha Agung MPM, Datuk Subramaniam Raman juga sudah menghantar surat bantahan kepada Jawatankuasa Paralimpik Filipina untuk segala keputusan dibuat menerusi jemaah mesyuarat.

"Barredo minta kita memberi cadangan menerusi emel dan saya sudah arahkan Setiausaha Agung MPM membuat bantahan agar keputusan dibuat secara bersama.

"Mereka harus memanggil semua wakil negara untuk bermesyuarat, daripada situ barulah kita buat keputusan dan saya harap mesyuarat terbabit akan diadakan selewat-lewatnya pada hujung bulan ini," katanya.

Berita Harian X