X
Khamis, 13 Februari 2020 | 9:13pm
Azizulhasni bersama basikal baharu yang akan digunakan pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Berlin Jerman ketika menjalani latihan intensif di Velodrom Nasional hari ini. - Foto BERNAMA
Azizulhasni bersama basikal baharu yang akan digunakan pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Berlin Jerman ketika menjalani latihan intensif di Velodrom Nasional hari ini. - Foto BERNAMA

Azizulhasni sasar emas di Tokyo 2020

NILAI: Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang menyasarkan pingat emas pada saingan di Sukan Olimpik Tokyo nanti.

Ia melebihi sasaran pingat perak oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang ditetapkan buat The Pocket Rocketman pada temasya sukan terbesar dunia yang akan membuka tirai hujung Julai ini.

"Kalau Malaysia tak ada pilihan dan meletakkan saya sebagai pengganti kepada (Datuk) Lee Chong Wei sebagai tonggak utama untuk bawa pulang pingat emas, sudah tentu saya akan terima tanggungjawab itu," kata Azizulhasni pada sidang media hari ini.

Jelas Azizulhasni, sejak daripada awal membabitkan diri dalam dunia berbasikal, pendiriannya tidak pernah berubah iaitu mahu memenangi emas untuk Malaysia.

"Apapun sasaran yang diletakkan di bahu saya, saya akan jadikannya sebagai satu tanggungjawab. Saya berada dalam industri ini bukan main-main.

"Saya akan pergi ke sana (Tokyo) selepas terlepas impian di Rio dan untuk itu, saya akan cuba sehabis baik. Jika anda tanya John Beasley (ketua jurulatih), ketika sesi latihan kami beri lebih 100 peratus," katanya.

Azizulhasni bagaimanapun berkata, tugas untuk memenangi pingat emas seharusnya digalas semua atlet yang layak beraksi di Olimpik dan bukan bersandarkan kepada seseorang atlet sahaja.

Sementara itu, Azizulhasni berkata, ketika ini fokus utamanya adalah beraksi di Kejohanan Dunia di Berlin, Jerman bermula 26 Februari sehingga 1 Mac depan yang juga kempen kelayakan untuk ke Tokyo bersama-sama rakan sepasukan, Shah Firdaus Sahrom dan Fadhil Zonis.

"Keutamaan kami adalah untuk cuba sekurang-kurangnya meraih dua slot individu bagi acara keirin dan pecut di Olimpik. Tapi saya juga berharap dapat menaiki podium dan mengulangi sejarah pada 2017," katanya merujuk kejayaannya mencipta sejarah muncul juara dunia pada 2017 di Hong Kong menerusi acara keirin.

Pada edisi Sukan Olimpik 2016 di Rio, Azizulhasni meraih pingat gangsa menerusi acara keirin.

Berita Harian X