Jumaat, 14 Februari 2020 | 10:22pm
The Undertaker (kanan) akan menentang AJ Styles pada aksi WWE di Wrestlemania 36. - Ihsan Wrestling Edge

Pertarungan impian The Undertaker, AJ Styles

AMERIKA SYARIKAT: Legenda gusti dunia, ‘The Undertaker’ dilaporkan akan membuat kemunculan semula pada aksi Hiburan Gusti Dunia (WWE) di Wrestlemania 36 dalam pertembungan impian menentang AJ Styles.

Penggusti yang mendapat gelaran ‘The Deadman’ itu bertanding kali terakhir di ‘Showcase of the Immortals’ pada aksi tidak dirancang menentang John Cena, dua tahun lalu.

Kemenangannya ke atas Jimmy Snuka pada 1991 menjadi permulaan kepada rekod tanpa kalahnya dalam 21 perlawanan sebelum rekod itu disekat Brock Lesnar pada 2013.

Kali terakhir penggusti berusia 54 tahun itu tampil di kaca televisyen adalah ketika dia mencekik Sami Zayn pada aksi Smackdown, September lalu.

WrestleZone mendakwa ‘Syaitan Lembah Kematian’ itu akan kembali untuk aksi ‘Show of Shows’ tahun ini menentang AJ Styles.

Prospek Undertaker menentang ‘Si Fenomena’ yang sebelum ini tidak pernah bertarung jelas mengujakan penyokong meskipun Styles ketika ini berdepan kecederaan bahu selepas beraksi pada Royal Rumble, bulan lalu.

Namun, Styles menegaskan aksi menentang Undertaker di Wrestlemania menjadi antara impiannya dengan dia mengakui akan rugi sekiranya melepaskan peluang terbabit.

“Saya gembira untuk melakukannya dan belajar daripada seseorang seperti Undertaker.

“Saya tidak tahu sama ada dia sudah bersara dan apa yang sedang berlaku tetapi saya pasti akan menyesal jika tidak mendapat peluang berkongsi gelanggang bersamanya.”

Setakat ini, hanya juara WWE, Brock Lesnar mengesahkan penyertaan pada Wrestlemania 36 dengan misi mempertahankan tali pinggangnya menentang juara Rumble, Drew McIntyre. - Agensi

Berita Harian X