X
Isnin, 17 Februari 2020 | 9:37pm
Megat (tengah) di majlis Sepetang Bersama Rakan Sukan dan Media di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan, hari ini.
Megat (tengah) di majlis Sepetang Bersama Rakan Sukan dan Media di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan, hari ini.

Ramadan, Aidilfitri tarikh baharu Sukan Para ASEAN

KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mahu bertemu 'empat mata' dengan Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) bagi membincangkan tarikh Sukan Para ASEAN 2020 di Filipina yang masih belum diputuskan.

Terbaru, pihak penganjur temasya -Jawatankuasa Penganjur Sukan Para ASEAN Filipina (PHILAPGOC) - menunda tarikh buat kali kedua atas alasan wabak COVID-19 dan mencadangkan tarikh baharu iaitu pada 17 Mei atau 26 Mei depan.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, tarikh itu jatuh pada Ramadan dan Aidilfitri sekali gus menegaskan mereka lebih selesa sekiranya temasya edisi ke-10 itu diadakan selepas sambutan perayaan itu.

"Itu yang mereka cadangkan dan kami mahu berbincang supaya sembilan negara ASEAN dapat berbincang mengenai tarikh (temasya). Jadi, lebih baik sekiranya kami dapat duduk semeja bagi mendapatkan tarikh.

"Harap dapat dibuat selepas hari raya... ada beberapa negara yang menyambut Ramadan dan Aidilfitri. Jadi, kami harap temasya dapat diadakan selepas tarikh itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Sepetang Bersama Rakan Sukan dan Media di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan, hari ini.

Pihak penganjur pada awalnya menunda Sukan Para ASEAN yang sepatutnya berlangsung dari 18 hingga 24 Januari kepada 20 hingga 28 Mac atas alasan kekurangan bajet dan kelewatan pengeluaran dana daripada Suruhanjaya Sukan Filipina (PSC).

Malaysia turut mengeluarkan bantahan atas penundaan berkenaan, apatah lagi tahun ini atlet para negara perlu mempersiapkan diri dengan beberapa temasya lain seperti Sukan Paralimpik Tokyo dan Sukan Para SUKMA.

Megat bagaimanapun meminta atlet para sentiasa berada dalam siap siaga bagi menghadapi setiap temasya dengan setiap persiapan berlangsung seperti dijadualkan.

"Kami sudah melakukan persiapan terbaik untuk atlet. Kami berada di momentum tertinggi dan harap apabila tiba kejohanan nanti, mereka berada di kemuncak prestasi. Kami sentiasa bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan melakukan pertandingan simulasi.

"Latihan juga berterusan dan kami sudah mempersiapkan jadual baharu untuk sesi latihan. Selain itu, mereka juga akan menyertai kejohanan di luar negara supaya ada pendedahan yang lebih. Saya harap mereka akan berada di tahap tertinggi nanti," kata Megat.

Berita Harian X