Selasa, 18 Februari 2020 | 4:04pm
KUALA LUMPUR, 18 Feb -- Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyampaikan ucapan pada pelancaran Projek Reben Kuning 2020 di Spacerubix, Puchong. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR, 18 Feb -- Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyampaikan ucapan pada pelancaran Projek Reben Kuning 2020 di Spacerubix, Puchong. - Foto BERNAMA

Kos RM10 juta untuk padang berkualiti, tahan lama

PUCHONG: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kos kira-kira RM10 juta bagi menaik taraf Stadium Nasional Bukit Jalil adalah bagi memastikan stadium itu memiliki padang yang lebih berkualiti dan tahan lama.

Katanya ia juga bagi memastikan padang stadium bersesuaian dengan cuaca di negara ini, supaya ia menjadi satu pelaburan yang berbaloi.

“Kita dapat maklum balas daripada pihak industri sukan dan rakan-rakan media bahawa ya, padang kita bagus tapi tidak terbaik jadi ia mesti kena ada standard tinggi dan kita ada berbincang dengan persatuan dan memuktamadkan untuk naik taraf padang.

“Kita nak pastikan stadium yang merupakan ‘padang rumah’ bagi Harimau Malaya dalam keadaan terbaik, tahan lama ...walaupun kos tinggi, pelaburan berbaloi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Reben Kuning bagi edisi kedua di Spacerubix di sini, hari ini.

Projek Reben Kuning dilancarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Oktober 2018 dengan tujuan memberi peluang kedua kepada bekas penghuni penjara dan sekolah pemulihan akhlak terutama daripada golongan belia.

Mengenai atlet e-sukan Muhammad Aiman Hafizi Ahmad yang tidak dapat mewakili negara ke kejohanan antarabangsa ekoran tiada kad pengenalan, Syed Saddiq berkata pihaknya telah membuat permohonan untuk mendapatkan kerakyatannya.

“Saya pernah bangkitkan dan kena ada desakan lebih kuat kerana tidak adil kita boleh beri kewarganegaraan kepada satu industri sukan walhal individu tersebut tidak lama menetap di Malaysia tetapi industri (sukan) lain tak boleh dapat ...mereka sepatutnya dapat pengiktirafan sewajarnya,” katanya.

Muhammad Aiman, dari Perak dibesarkan oleh ibu bapa angkat setelah ibu kandungnya yang merupakan warga Indonesia menghilangkan diri selepas beliau dilahirkan.

Permohonan Muhammad Aiman menjadi warganegara Malaysia pernah ditolak sekali dan dimaklumkan permohonan keduanya pula tidak lengkap. - BERNAMA

Berita Harian X