Ahad, 15 March 2020 | 4:36pm
PENGERUSI Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh pada sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil. - Foto BERNAMA
PENGERUSI Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh pada sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil. - Foto BERNAMA

COVID-19: LHRM ditunda

KUALA LUMPUR: Satu demi satu acara sukan terpaksa ditangguh atau dibatalkan ekoran penularan wabak COVID-19 dan terbaru Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini mengumumkan penangguhan Liga Hoki Remaja Malaysia (LHRM) 2020.

Saingan liga remaja itu dijadual bermula 25 Mac dan berakhir pada 19 April ini, membabitkan kategori lelaki bagi Divisyen Satu dan Dua itu ditunda sehingga ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata langkah itu diambil selepas perbincangan antara KHM dan Majlis Sukan Negara (MSN), demi keselamatan pemain yang mengambil bahagian.

"Ia selaras dengan ketetapan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bahawa segala acara berkaitan sukan ditunda sehingga 30 April. Buat masa sekarang tiada tarikh tetap bila ia akan diadakan semula namun ia bukan dibatalkan.

"Secara keseluruhannya hampir 90 peratus persediaan telah dilakukan untuk LHRM 2020 tetapi kami mendapat notis daripada Kementerian Pendidikan bahawa segala aktiviti luar tidak digalakkan untuk pelajar," katanya pada sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Anil Jeet berkata, menerusi perbincangan dengan Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, tiada jangka masa maksimum tempoh penundaan itu ditetapkan sebaliknya tarikh baharu hanya akan dimuktamadkan selepas mendapat 'lampu hijau' dari KBS dan Kementerian Pendidikan.

Ditanya sama ada penundaan itu mengganggu perjalanan sukan hoki negara, Anil Jeet mengakui persiapan pasukan hoki remaja ke Sukan Malaysia (Sukma) Johor sedikit terjejas termasuk pencarian bakat baharu.

"Penundaan ini tidak merugikan apa-apa. Ia tidak boleh dielakkan. Memang kalau boleh kami tidak mahu tunda lama tapi jika terpaksa, kami kena terus tunda. Kami tidak mahu pemain mendapat kesan daripada wabak ini.

"Nasihat saya kepada semua persatuan hoki negeri mahupun kelab, agar sentiasa menjaga kesihatan dan kebersihan pemain serta mengamalkan langkah pencegahan seperti yang telah ditetapkan," katanya. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X