Jumaat, 27 March 2020 | 9:47am
Penangguhan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dianjak ke tahun hadapan boleh dianggap rahmat buat kontinjen negara. - Foto AFP
Penangguhan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dianjak ke tahun hadapan boleh dianggap rahmat buat kontinjen negara. - Foto AFP

Ada hikmah di sebalik tangguh Tokyo 2020

KUALA LUMPUR: Penangguhan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dianjak ke tahun hadapan boleh dianggap rahmat buat kontinjen negara khususnya dalam misi memburu pingat emas sulung temasya berprestij itu.

Situasi itu diakui bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Mazlan Ahmad yang melihat penangguhan itu membantu mencerahkan peluang Malaysia menamatkan kemarau emas.

Menurutnya, penangguhan itu juga seharusnya melegakan semua pihak terutama atlet dan jurulatih apabila keputusan muktamad sudah diperoleh sekali gus membolehkan mereka mengatur langkah seterusnya.

“Kalau diikutkan penangguhan, atlet yang layak ada sekitar setahun, jadi ini beri peluang untuk mereka mengatur perancangan bagi program latihan selain atlet yang tidak layak pula boleh menunggu maklumat mengenai pusingan kelayakan.

“Mungkin penangguhan ini ada baiknya kerana dalam tempoh berkenaan, ia memberi banyak masa atlet berlatih bagi meningkatkan prestasi mereka. Secara tidak langsung ini memberi kesan positif kepada buruan emas.

“Namun, harus diingat saingan tetap sengit kerana bukan kita sahaja, atlet lain juga pasti memanfaatkan ruang ini sebaiknya, jadi kita tidak boleh leka,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai program Road To Tokyo (RTT), Mazlan percaya MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) memiliki perancangan tersendiri bagi memantapkan program terbabit.

“Mungkin ada beberapa pengubahsuaian yang perlu dilakukan dan ini memerlukan kerjasama semua pihak.

“Saya rasa bajet yang diberikan sebelum ini cukup untuk meneruskan program RTT, namun dalam keadaan ketika ini, semua pihak perlu peka dan mungkin ia memerlukan perancangan lebih strategik,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X