Isnin, 30 March 2020 | 9:56pm
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin ketika mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia Para secara dalam talian hari ini.
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin ketika mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia Para secara dalam talian hari ini.

Para Sukma 2020 ditangguh

KUALA LUMPUR: Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2020 di Johor yang dijadualkan Ogos ini ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian susulan ancaman wabak COVID-19.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata tarikh baharu Para Sukma 2020 akan ditentukan sebaik tarikh Sukma Johor 2020 ditetapkan.

“Memandangkan ia adalah isu sejagat serta mampu mengancam keselamatan dan kesejahteraan atlet para yang memerlukan lebih perhatian terutama membabitkan isu kesihatan, maka adalah lebih baik untuk Para Sukma Johor 2020 ditangguhkan.

“Segala perkembangan terbaru akan dibincangkan sekali lagi bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN),” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Keputusan menangguhkan temasya dwitahunan itu dicapai dalam mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia Para secara dalam talian hari ini.

Mesyuarat yang berlangsung selama setengah jam itu dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Dr Waitchalla RRV Suppiah bagi membincangkan situasi terkini penganjuran Para Sukma Johor 2020.

Ia turut disertai ketua pengarah MSN, ketua pegawai eksekutif Sukma Johor, ketua pegawai Institut Sukan Negara dan timbalan ketua pengarah bahagian pembangunan sukan di JBSN termasuk 13 pengarahnya serta pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican telah mengumumkan bahawa Sukma 2020 yang dijadualkan pada Julai ini ditangguh ke satu tarikh akan ditetapkan kemudian susulan pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini. - BERNAMA

Berita Harian X