Selasa, 7 April 2020 | 4:09pm
Megat mengesahkan setakat ini tiada atlet para yang dijangkiti COVID-19 dengan semua atlet sudah pulang awal ke kampung selepas menerima arahan daripada MSN. - Ihsan MPM
Megat mengesahkan setakat ini tiada atlet para yang dijangkiti COVID-19 dengan semua atlet sudah pulang awal ke kampung selepas menerima arahan daripada MSN. - Ihsan MPM
Megat mengagihkan kit bantuan kesihatan untuk atlet para sekitar Lembah Klang. - Ihsan MPM
Megat mengagihkan kit bantuan kesihatan untuk atlet para sekitar Lembah Klang. - Ihsan MPM

MPM serah bantuan peralatan kesihatan

KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mengagihkan ‘Kit Penjagaan Kesihatan MPM’ kepada 60 atletnya yang berada di sekitar Lembah Klang bagi membantu mereka ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiap kit perlindungan diri itu mengandungi vitamin C, cecair basmi kuman dan topeng muka dengan pihak MPM yakin bantuan itu dapat meringankan beban atlet para yang berdepan kesukaran mendapatkan stok topeng muka di pasaran.

“MPM amat bersyukur kerana dapat menyerahkan sumbangan Healthcare Kit kepada atlet dan jurulatih yang berada di rumah sepanjang tempoh PKP, harapan kami semoga ia sedikit sebanyak dapat membantu atlet menjaga kesihatan dan mempunyai perlindungan asas sewajarnya.

“Saya mendengar keluhan ada antara atlet para berdepan kesukaran untuk keluar sendirian membeli barangan asas seperti 'sanitizer' dan topeng muka, atas sebab itu saya terpanggil menyerahkan kit ini kepada atlet para.

“Apapun, kami di MPM sentiasa mendoakan semua atlet untuk berada dalam keadaan sihat dan dijauhi daripada COVID-19. Saya mohon atlet menjaga kesihatan supaya kita dapat kembali bertanding di persada sukan tahun depan,” kata presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dalam satu kenyataan, hari ini.

Penyerahan kit berkenaan berlangsung di perkarangan Menara Kuala Lumpur hari ini dengan MPM menempah perkhidmatan e-hailing, untuk menghantar set perlindungan diri itu kepada enam wakil jurulatih sebelum diserahkan kepada kira-kira 60 atlet para sekitar Lembah Klang.

Gimik pelepasan dibuat secara pandu lalu dengan setiap kenderaan e-hailing menerima barangan berkenaan sebelum bergerak ke setiap lokasi rumah jurulatih dikenalpasti MPM.

Langkah itu dibuat MPM bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan atlet para sentiasa terjaga tanpa perlu keluar rumah untuk menerima sumbangan berkenaan.

Dalam pada itu, Megat turut mengesahkan setakat ini tiada atlet para yang dijangkiti COVID-19 dengan semua atlet sudah pulang awal ke kampung selepas menerima arahan daripada Majlis Sukan Negara (MSN).

Untuk rekod, temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 juga ditangguhkan kepada tahun depan iaitu pada 24 Ogos hingga 5 September 2021 susulan penularan COVID-9 yang sudah meragut puluhan ribu nyawa di seluruh dunia.

Berita Harian X