Khamis, 23 April 2020 | 9:57pm

SUKMA Johor ditunda Mac 2021

KUALA LUMPUR: Penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Johor dijadual berlangsung dari 6 hingga 14 Mac tahun depan selepas tarikh itu diputuskan dalam satu Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi temasya berkenaan, hari ini.

Begitupun, berdasarkan satu kenyataan dikeluarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu memaklumkan tarikh berkenaan akan sekali lagi dibincangkan mesyuarat sama pada Oktober nanti sekiranya ada perubahan.

Turut dipersetujui adalah tarikh Para SUKMA Johor 2020 yang ditunda ke satu tarikh baharu iaitu dari 5 hingga 10 April tahun depan selain penjenamaan temasya berkenaan kekal kepada SUKMA 2020 dan Para SUKMA 2020.

"Atlet yang sudah didaftarkan dalam senarai pendaftaran awal sebelum 9 Januari 2020 dibenarkan mengambil bahagian di SUKMA Johor 2020 walaupun melebihi had umur seperti ditetapkan.

"Pertukaran atlet untuk senarai Panjang boleh dilakukan sehingga 30 Jun 2020 hanya membabitkan kes kecederaan (perlu mendapatkan pengesahan doktor) atau tidak mendapat pelepasan majikan/Institusi Pendidikan (mesti disertakan surat pengesahan pelepasan).

"Permohonan hendaklah dikemukakan kepada Pengerusi Jawatankuasa Khas Teknikal untuk kelulusan.

"Borang penyertaan yang lengkap dengan nama atlet dan acara (senarai pendek) hendaklah dikemukakan oleh kontinjen kepada Sekretariat SUKMA Johor 2020 tidak lewat daripada 31 Disember 2020," kata Menteri KBS, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan secara dalam talian, hari ini.

Sementara itu, Reezal turut berharap kesemua atlet yang terbabit supaya terus menjalani latihan secara persendirian susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

"Saya juga memohon semua atlet, jurulatih serta pegawai sukan di seluruh negara untuk terus mematuhi arahan dan panduan tatacara pembersihan yang dikeluarkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia serta menghadkan sebarang pergerakan masing-masing di samping melakukan 'self quarantine' serta melaksanakan penjarakan sosial (social distancing)," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X