Rabu, 13 Mei 2020 | 8:27pm
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin. - Foto NSTP
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin. - Foto NSTP

MPM hormati keputusan Filipina batal Sukan Para ASEAN

KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menghormati keputusan Filipina yang terpaksa membatalkan penganjuran Sukan Para ASEAN (APG) yang dijadualkan di negara itu, susulan penularan pandemik COVID-19.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata pihaknya menerima emel daripada Presiden Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF), Osoth Bhavilai hari ini yang menyatakan penganjuran temasya edisi ke-10 itu secara rasminya dibatalkan akibat pandemik COVID-19.

"Bagi pihak MPM, walaupun kecewa dengan pengumuman berkenaan, sudah tentu kami menghormati dan memahami sepenuhnya keputusan Filipina membatalkan penganjuran temasya dwitahunan itu bagi menyalurkan peruntukan dana APG kepada usaha membendung penularan wabak COVID-19 di negara itu," katanya di sini.

"Menerusi emel berkenaan, APSF turut mengesahkan pihaknya akan mengadakan Mesyuarat Lembaga Gabenor yang terdiri daripada Presiden Majlis Paralimpik semua negara ASEAN dalam masa terdekat bagi membincangkan lebih lanjut mengenai pembatalan berkenaan dan langkah seterusnya yang perlu diambil.

"Pihak MPM amat mengalu-alukan keputusan untuk mengadakan mesyuarat berkenaan secepat mungkin sebelum mengeluarkan sebarang pengumuman rasmi mengenai situasi semasa.

"Ia sama ada temasya edisi ke-10 APG dibatalkan sepenuhnya untuk fokus mula dialihkan kepada persiapan menghadapi edisi ke-11 APG 2021 di Vietnam ataupun diteruskan dengan mencari negara yang sudi menggantikan Filipina sebagai tuan rumah.

"Keputusan ini pastinya memberi kesan mendalam terhadap persiapan atlet para negara. Malah, perkara itu diakui dua jaguh para negara, Mohamad Ridzuan Puzi dan Abdul Latif Romly yang diziarahi pihak MPM pada minggu lalu,".

Berita Harian X