Sabtu, 23 Mei 2020 | 8:22pm
Bekas peninju negara, Zulkifli Yaacob.
Bekas peninju negara, Zulkifli Yaacob.

`Mike Tyson Malaysia' tekad kerja keras

MELAKA: Bekas peninju negara, Zulkifli Yaacob yang turut dikenali sebagai `Mike Tyson Malaysia' mengakui perlu bekerja lebih keras bagi memantapkan persembahan atlet bimbingannya sebaik saja kembali menyambung latihan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Dia yang kini membimbing kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Johor berkata sebelum PKP dilaksanakan susulan penularan COVID-19, atletnya sudah menunjukkan peningkatan membanggakan sepanjang sesi latihan selain kejohanan jemputan.

"Bagaimanapun, sepanjang tempoh PKP ini, saya jangkakan tahap prestasi dan kecergasan mereka pastinya akan merosot kerana terpaksa berada di rumah masing-masing," katanya yang berjaya menamatkan kemarau emas negara dalam sukan tinju pada temasya Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur.

Zulkifli juga pernah berkhidmat sebagai jurulatih Majlis Sukan Negara lebih 10 tahun sebelum membimbing Melaka tahun lalu mengakui atletnya berpotensi untuk meraih kejayaan cemerlang di gelanggang sendiri, dengan syarat displin dan komitmen mereka terus fokus memenuhi misi besar terbabit.

"Saya gembira dapat memberi tunjuk ajar kepada akar umbi sebagai asas untuk mereka lebih bersedia mewakili negara di pentas antarabangsa.

"Kejayaan atlet negara sebelum ini termasuk peninju professional, Farkhan Haron membakar semangat saya untuk terus mendidik dan mencurahkan segala pengalaman yang ada," katanya yang kini menetap di Bertam Jaya, Melaka.

Zulkifli yang berasal dari Kampung Gadek, Alor Gajah mewakili negara sejak 1985 adalah juga bekas anggota Rejimen Gerak Khas Sungai Udang, Melaka. Dia memulakan kerjaya tinju ketika berusia 19 tahun dan bersara selepas meraih gangsa pada temasya Sukan SEA 1991.

Berita Harian X