Ahad, 24 Mei 2020 | 10:00am
ATLET gimnastik kebangsaan, Izzah Amzan (tengah) bersama ayah, Amzan Abd Malek, ibu, Hazira Hamsah, kakak, Iffah Amzan dan abang, Izzat Amzan meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam suasana sederhana ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan. - Foto Aizuddin Saad
ATLET gimnastik kebangsaan, Izzah Amzan (tengah) bersama ayah, Amzan Abd Malek, ibu, Hazira Hamsah, kakak, Iffah Amzan dan abang, Izzat Amzan meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam suasana sederhana ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan. - Foto Aizuddin Saad

Izzah rindu ke gim, tak ralat raya di KL

KUALA LUMPUR: Tiada apa perancangan yang boleh difikirkan atlet gimnastik kebangsaan, Izzah Amzan ketika ini selain mahu kembali berlatih di gimnasium seperti biasa.

Atlet kecil molek yang turut menyumbang emas buat kontinjen negara pada temasya Sukan SEA tahun lalu itu mengakui rindu untuk ke gimnasium selepas hanya berlatih di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19.

"Saya tak tahu lagi kejohanan (yang tertangguh) akan dianjurkan atau tidak sebab seluruh dunia menghadapi situasi sama. Jadi, perancangan saya selepas PKP adalah cuma nak balik ke gim dan berlatih macam biasa.

"Walaupun tiada kejohanan, tapi ia penting untuk persiapan tahun depan, sebab tahun depan ada beberapa kejohanan termasuk Sukan SEA dan kejohanan Asia. Ketika ini saya dan atlet lain berlatih macam biasa menerusi sidang video online bersama jurulatih setiap hari," katanya kepada BH Sukan, semalam.

Nama Izzah menjadi sebutan arena sukan negara apabila memenangi dua emas dan satu perak pada temasya Sukan SEA di Filipina tahun lalu. Sempena sambutan Hari Guru 16 Mei lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut melahirkan rasa bangga dengan pencapaiannya itu bersama beberapa pelajar lain.

Dalam perkembangan lain, Izzah turut berkongsi mengenai persiapan menyambut Aidilfitri tahun ini yang berbeza berbanding tahun sebelumnya akibat krisis COVID-19.

Dia bagaimanapun mengakui tidak terlalu terkesan kerana ibu bapa dan adik beradiknya tetap berada di sisi bagi menyambut syawal tahun ini.

"Raya tahun ini mestilah berbeza sebab tak dapat balik kampung di Pahang dan Sabah. Tapi tidaklah memberi impak yang besar kepada saya sebab saya memang tinggal bersama keluarga, cuma ini kali pertama kami beraya di Kuala Lumpur.

"Biasanya kalau Aidilfitri balik Pahang (kampung ayah), Aidiladha akan balik Sabah (kampung emak). Tapi tak tentu juga, sebab kalau saya dapat cuti dua hari, memang tak sempat nak balik Sabah.

"Apa pun, saya mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri buat seluruh rakyat Malaysia terutama kepada keluarga di Pahang dan Sabah," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X