Ahad, 24 Mei 2020 | 5:26pm
Jaguh bina badan negara, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah. - Foto Azhar Ramli
Jaguh bina badan negara, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah. - Foto Azhar Ramli

Mr Malaysia 2020 pada Julai dibatalkan

KUALA LUMPUR: Kejohanan Bina Badan Kebangsaan Mr Malaysia 2020 yang dijadualkan berlangsung di Kedah, Julai ini, dibatalkan berikutan penularan wabak COVID-19.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM), Kamarulzaman Kadir, berkata pihaknya bersetuju untuk meluluskan permohonan daripada Persatuan Bina Badan Negeri Kedah bagi membatalkan kejohanan itu.

Bagaimanapun, katanya, Kedah masih akan menjadi tuan rumah pada edisi tahun depan.

"Dalam situasi tidak menentu ini, kami khuatir dengan keselamatan manakala penaja pun tidak boleh menjamin untuk memberikan jumlah penuh penajaan yang dipersetujui. Jadi kami mengambil keputusan membatalkan edisi tahun ini.

"Kami tidak mahu menunda kejohanan ini beberapa kali, lebih baik adakan pada 2021. Lagipun, gimnasium masih tutup, atlet tidak dapat berlatih. Mereka memerlukan masa untuk memantapkan kembali otot-otot mereka," katanya.

Sementara itu, Kamarulzaman berkata buat masa ini tiada perubahan bagi kejohanan peringkat rantau dan antarabangsa yang dijadualkan bermula September ini.

Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Asia Tenggara Ke-17 yang pada awalnya dijadualkan bermula 11 hingga16 Jun di Vientiane, Laos, sudah dijadualkan semula dari 24 hingga 29 September.

Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Asia ke-54 dijadualkan bermula 5 hingga 11 September di Maldives, manakala Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia dijangka diadakan pada November.

Jaguh bina badan negara, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah adalah juara bertahan dunia dan Asia selepas memenangi kejuaraan dunia keempat dan kelima Asia pada tahun lalu.

- BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X