Ahad, 24 Mei 2020 | 6:29pm
Tiger Woods dan Phil Mickelson. - Foto AFP
Tiger Woods dan Phil Mickelson. - Foto AFP

Woods, Mickelson berentap lagi rebut RM43j

LONDON: Tiger Woods dan Phil Mickelson akan menyertai pemain terkemuka NFL, Tom Brady dan Peyton Manning apabila mereka akan beraksi dalam perlawanan golf yang bernilai AS$10 juta (RM43 juta).

Perlawanan berkenaan akan meningkatkan kutipan untuk usaha bantuan COVID-19 di Amerika Syarikat (AS).

Ia dijadual berlangsung selepas acara disertai Rory McIlroy yang bernilai AS$4 juta (RM17 juta) minggu lalu yang turut membabitkan Dustin Johnson, Rickie Fowler dan Matthew Wolff bagi tujuan amal.

Mickelson menewaskan Woods untuk meraih AS$9 juta (RM39 juta) apabila mereka bertemu dalam satu perlawanan di Las Vegas pada 2018.

Sebelum ini, hubungan kedua-dua pemain agak tegang, namun kembali jernih menjelang pertembungan semula itu.

Dalam satu sidang video baru-baru ini, Mickelson menunjukkan trofi kemenangan daripada pertemuan mereka pada 2018 tatkala Woods pula mempamerkan 'jaket hijau' dimenanginya dalam saingan Masters 2019.

Perlawanan ini dijadual berlangsung secara tertutup di Kelab Golf Medalist di Hobe Sound – tanpa kedi, manakala pemain dibenarkan membawa sendiri buggy.

– AGENSI

Berita Harian X