Isnin, 25 Mei 2020 | 1:33pm

Tyson bakal umum lawan minggu depan

NEW YORK: Mike Tyson berkata kontrak untuk kepulangannya akan siap minggu depan dan lawan misterinya itu nanti nama yang lebih besar daripada Evander Holyfield.

Bekas peninju 53 tahun itu mempromosikan kepulangannya ke gelanggang dengan memuat naik siri rakaman latihannya.

Bekas juara dunia itu merancang untuk kembali melangkah ke gelanggang sekurang-kurangnya bagi satu perlawanan amal, dengan bekas seterunya Holyfield menyatakan kesediaan untuk pertembungan trilogi.

Ia pertarungan penentuan yang dinanti-nantikan selepas pertembungan terakhir antara mereka menyaksikan Holyfield diberikan kemenangan percuma susulan Tyson menggigit telinga lawannya itu.

Seorang lagi bekas juara heavyweight Shannon Briggs juga menyatakan kesediaan untuk bertarung dengan Tyson yang mendapat jolokan Lelaki Paling Jahat di Planet.

Bagaimanapun Tyson seakan menafikan dua nama berkenaan sebagai lawannya nanti.

"Tidak, tidak, kami ada ramai lagi. Sebenarnya ramai yang berminat untuk bertarung dengan saya.

"Kami mendapat banyak panggilan, kami sedang berbincang dengan mereka sekarang.

"Anda pasti tidak akan mempercayainya apabila nama itu diumumkan. Dalam minggu ini kontrak itu akan disiapkan.

"Berapa juga wang yang dikumpul, ia akan didermakan.

"Saya tidak membuat sebarang keuntungan - mungkin untuk syarikat, isteri saya kerana dia rakan kongsi saya, dia mungkin buat untung sedikit.

"Tetapi bahagian saya akan diserahkan untuk kebajikan," kata Tyson. - AGENSI

Berita Harian X