Isnin, 8 Jun 2020 | 4:40pm
Gambar fail, Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abd Jalil. - Foto Owee Ah Chun
Gambar fail, Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abd Jalil. - Foto Owee Ah Chun

Persatuan sukan kebangsaan lega dapat kelonggaran

KUALA LUMPUR: Persatuan sukan kebangsaan menarik nafas lega selepas kerajaan memberi kelonggaran kepada sektor sukan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa, Rabu ini.

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abd Jalil, berkata pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam itu sememangnya sesuatu yang dinantikan khususnya atlet untuk kembali berlatih.

"Kemungkinan besar atlet olahraga dapat kembali berlatih semula susulan daripada pengumuman itu. Bagaimanapun, kami perlu menunggu arahan daripada MSN (Majlis Sukan Negara) dan KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dalam masa terdekat.

"Mudah-mudahan semua jurulatih dapat menjalankan tugas seperti biasa dan atlet olahraga dapat kembali berlatih," katanya kepada BH Sukan.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan kerajaan memberi kebenaran untuk latihan persediaan pasukan; aktiviti sukan yang tidak membabitkan sentuhan badan dan aktiviti berkumpulan di luar sepanjang tempoh PKPP.

Bagaimanapun, pertandingan sukan atau permainan yang membabitkan perhimpunan penyokong atau penonton yang ramai, sukan renang dan kolam renang awam, tidak dibenarkan

Sebelum ini, hanya atlet di bawah program Road to Tokyo (RTT) membabitkan Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara dan Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan di Langkawi dibenarkan menjalani latihan bermula 1 Jun lalu.

Hari ini, seramai 146 individu termasuk atlet, jurulatih dan pegawai sokongan akan melaporkan diri bagi kem latihan pusat RTT di Kompleks Sukan Bukit Jalil.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC), Maradona Chok, berkata atlet teruja untuk kembali berlatih selepas pengumuman dibuat Perdana Menteri namun perlu menunggu lampu hijau daripada MSN.

"Kami akan mengikut semua SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan termasuk penjarakan sosial dan menjaga kebersihan di tempat latihan," katanya.

Berita Harian X