Isnin, 8 Jun 2020 | 5:44pm
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. - NSTP/Asyraf Hamzah
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. - NSTP/Asyraf Hamzah

Pasukan Liga M dibenarkan berlatih mulai 15 Jun

PUTRAJAYA: Semua pasukan dan kelab Liga Malaysia (Liga M) dibenarkan untuk kembali menjalani latihan tanpa sentuhan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 15 Jun ini dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Kelonggaran itu juga termasuk buat skuad bola sepak kebangsaan yang dalam persiapan menghadapi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata sukan berpasukan seperti bola sepak, hoki, ragbi, bola jaring dan sukan tempur seperti karate, taekwando dan silat masih kekal tidak boleh dimainkan secara 'match play'.

"Ia dibenarkan untuk tujuan latihan sahaja tanpa sentuhan badan dengan penjarakan sosial tiga hingga lima meter antara seorang dengan seorang yang lain semasa latihan.

"Ini secara tidak langsung memberi kebenaran kepada pasukan bola kebangsaan dan pasukan negeri atau kelab di bawah MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) dan akademi lain yang berdaftar untuk memulakan latihan secara tidak bersentuhan badan mengikut SOP am individu dan SOP pengurusan yang ditetapkan.

"Ini adalah langkah permulaan seperti mana di negara luar seperti Liga Perdana Inggeris yang memulakan fasa pertama dengan latihan tanpa sentuhan," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Reezal Merican berkata penganjuran kejohanan, acara dan pertandingan sukan masih kekal tidak dibenarkan bagi fasa PKPP untuk mengelak daripada perhimpunan ramai.

"Aktiviti sukan air seperti di kolam renang juga masih tidak dibenarkan. Namun, pihak KBS (Kementerian Belia dan Sukan), MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan KKM (Kementerian Kesihatan) akan berbincang dan menyelaraskan SOP yang lebih terperinci sebelum di bawa semula ke Mesyuarat Khas (Menteri-Menteri) dalam masa terdekat," katanya.

Berita Harian X