Isnin, 8 Jun 2020 | 8:57pm
PRESIDEN Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.
PRESIDEN Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

MPM sambut baik pembukaan sektor sukan, rekreasi Fasa 2

KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berterima kasih atas pengumuman kerajaan berkaitan pembukaan sektor sukan dan rekreasi Fasa 2 selain menyifatkan ianya bakal merancakkan semula budaya bersukan.

Justeru presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menyarankan semua persatuan sukan para kebangsaan supaya mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Sudah tentu berita ini disambut baik semua persatuan sukan, atlet dan jurulatih yang sudah boleh berkira-kira untuk memulakan latihan.

"Namun dengan mereka syarat perlu mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menjaga penjarakan diri satu hingga tiga meter bagi aktiviti statik dan tiga hingga lima meter bagi aktiviti dinamik.

"MPM turut menghargai dan berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta seluruh pemegang taruh yang berjaya meyakinkan jemaah menteri untuk memberi lebih banyak kelonggaran bagi aktiviti sukan bermula 15 Jun ini sekali gus mengembalikan budaya hidup sukan di kalangan orang awam," kata Megat D Shahriman dalam satu kenyataan hari ini.

"KBS sudah melaksanakan tugas dengan baik sepanjang tempoh penularan COVID-19 khususnya Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican kerana mengambil kira kekangan dihadapi pemain industri sukan dan pada masa sama menjaga kebajikan dan kemaslahatan atlet dengan baik.

"Dalam masa sama, MPM juga bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk tidak memberi kebenaran kepada beberapa sukan berpasukan yang mana ia amat merbahaya dan boleh memudaratkan kesihatan atlet.

"Terima kasih kepada KKM kerana mengeluarkan garis panduan dan nasihat yang bernas supaya tiada risiko seperti pihak kami tegaskan dulu iaitu setiap nyawa lebih berharga.

"MPM percaya keputusan kerajaan ini juga dapat merancakkan semula budaya bersukan selain menggunakan sukan sebagai platform untuk orang awam membiasakan diri dengan normal baharu.

"Selain itu, MPM juga ingin mengingatkan kepada semua persatuan sukan para kebangsaan bahawa kita masih tertakluk kepada SOP ditetapkan kerajaan dalam melakukan aktiviti sukan secara individu mahupun berpasukan.

"Bagaimanapun, sekiranya terdapat sukan berpasukan berhajat untuk kembali menjalani latihan berkumpulan dan mempunyai sentuhan, maka sukan berkenaan perlu menyediakan garis panduan untuk dikemukakan permohonan kepada MKN melalui kementerian," katanya.

Berita Harian X