Khamis, 11 Jun 2020 | 7:33pm
Kontinjen para ASEAN negara ketika majlis penutup Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017.
Kontinjen para ASEAN negara ketika majlis penutup Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017.

MPM hantar surat kepada APSF

KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mahu mendapatkan kepastian mengenai empat perkara utama kepada Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF), antaranya berkaitan keputusan akhir badan induk itu mengenai situasi Sukan Para ASEAN 2020.

"Selepas sebulan berlalu tanpa khabar berita, pihak MPM sudah memohon melalui surat untuk APSF memberi kemas kini terbaharu selepas terdapat laporan yang mengatakan pihak Majlis Paralimpik Thailand berhasrat menganjurkan temasya APG 2020.

"Maka APSF sepatutnya mengadakan mesyuarat secara maya dengan semua wakil negara bagi membuat keputusan akhir mengenai situasi berkenaan," kata Setiausaha Agung MPM, Datuk Laksamana Pertama (B), R Subramaniam yang menyatakan surat berhubung empat pertanyaan itu sudah dihantar hari ini.

Antara lain yang dibangkitkan dalam surat berkenaan adalah berkaitan pemilihan Lembaga Eksekutif APSF, Sukan Para ASEAN Hanoi 2021 dan juga mesyuarat Lembaga Pengeloka (BoG) APSF yang dikatakan tertangguh sejak enam bulan terakhir ini.

"Bagi isu 'pemilihan APSF' pula, tempoh kepimpinan sedia ada sepatutnya berakhir pada 2019. Namun yang demikian sehingga kini pemilihan tidak dijalankan ekoran tiada kepastian mengenai penganjuran temasya APG 2020 dan kekangan pandemik COVID-19.

"Pihak MPM akur dengan situasi ini, tetapi kami perlu menangani isu ini dengan segera supaya jawatankuasa baharu dapat mengambil alih segera tugasan untuk melaksanakan APG 2021 Hanoi.

"Perkara ketiga adalah mengenai penganjuran APG Hanoi 2021 yang mana MPM berpandangan perlunya kerjasama erat bagi membantu Vietnam mengelolakan temasya dwitahunan itu. Tempoh masa makin suntuk iaitu kurang daripada 15 bulan. Daripada pengalaman lalu kami sekurang-kurangnya 18 bulan diperlukan untuk memastikan penganjuran APG mencapai standard yang tinggi.

"Perkara keempat yang digariskan adalah keperluan untuk mengadakan segera 'Mesyuarat Lembaga Pengelola (BoG) APSF'. Banyak isu berbangkit tertangguh sejak enam bulan terakhir ini dan memerlukan keputusan bersama untuk dilaksanakan. "Sekiranya APSF dapat mencapai kata putus untuk tidak menganjurkan temasya APG 2020 bermakna telah tiba masanya Filipina membuat majlis simbolik penyerahan hak tuan rumah kepada Hanoi.

"Pokok pangkalnya, pihak MPM percaya sebagai tuan rumah APG yang akan datang Vietnam memerlukan mandat sebagai tuan rumah dengan segera bagi membuktikan solidariti APSF kepada kerajaan Vietnam disamping mengukuhkan komitmen APSF dalam penganjuran temasya tersebut.

"Pihak MPM berharap tindakan segera dapat diambil APSF dalam usaha mengembalikan keyakinan pemegang taruh terhadap urus tadbir badan induk berkenaan yang juga pihak bertanggungjawab mengelolakan acara sukan di peringkat Asia Tenggara bagi atlet para," kata Subramaniam dalam satu kenyataan hari ini.

Berita Harian X