Sabtu, 27 Jun 2020 | 9:10pm
Gambar fail, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. - Foto Asyraf Hamzah
Gambar fail, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. - Foto Asyraf Hamzah

Pertukaran pengurusan punca lepasan NFDP terumbang-ambing

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendakwa pertukaran pengurusan dalam Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) menjadi punca masa depan kebanyakan lepasan program itu terumbang ambing selepas menamatkan pengajian.

Menerusi akaun Twitter miliknya, Khairy menjelaskan mereka sememangnya sudah memiliki banyak perancangan apabila memulakan program elit bola sepak itu dan menolak persepsi masalah berkenaan berlaku disebabkan kekurangan visi ataupun perancangan tidak sempurna.

"Ketika kami memulakan NFDP ini, memang ada perancangan untuk meletakkan graduan kita di luar negara ataupun bersama kelab tempatan. Sebab itulah kita bekerjasama dengan banyak pasukan luar negara dan juga akademi.

"Tetapi malangnya, ketika generasi pertama menamatkan pengajian, pengurusan NFDP sudah bertukar dan inilah yang terjadi. Ia bukanlah kerana perancangan yang kurang baik dan kurang visi.

"Hanya kerana perubahan dalam pengurusan pihak yang mengendalikan program itu dari sudut operasi sehinggalah peringkat tertinggi," katanya.

Khairy berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan sebuah akhbar tempatan yang menyatakan lepasan NFDP bergelut dalam karier bola sepak mereka selepas menamatkan pengajian dalam program terbabit.

Laporan itu menyebut generasi pertama daripada program itu tidak dapat pergi jauh dalam karier mereka memandangkan tiada hala tuju buat mereka selepas mereka keluar daripada program terbabit ketika mereka sepatutnya dihantar untuk menimba pengalaman di luar negara.

Ketika ini, boleh dikatakan hanya seorang lepasan NFDP yang benar-benar menyerlah iaitu Luqman Hakim Shamsuddin yang berjaya mendapat tawaran beberapa pasukan di luar negara.

Berita Harian X