Isnin, 29 Jun 2020 | 7:36pm
Pesuruhjaya Sukan, Dr Wirdati Mohd Radzi. - NSTP/Aizuddin Saad
Pesuruhjaya Sukan, Dr Wirdati Mohd Radzi. - NSTP/Aizuddin Saad

Persatuan diberi 'lampu hijau' buat AGM

KUALA LUMPUR: Semua badan sukan yang berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 menerima 'lampu hijau' untuk melaksanakan mesyuarat agung tahunan (AGM) dan mesyuarat seumpamanya bermula 1 Julai ini.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Pesuruhjaya Sukan Malaysia, kesemua perkara ini boleh dilakukan dengan bersyarat.

"Merujuk kepada Perutusan Khas Perdana Menteri pada 7 Jun 2020 berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) serta pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) pada 17 Jun 2020 yang memberi kebenaran menganjurkan mesyuarat, seminar, bengkel dan diikuti pada 22 Jun 2020 yang membenarkan syarikat, koperasi, persatuan dan organisasi untuk melaksanakan mesyuarat agung tahunan (AGM).

"Sehubungan itu semua badan sukan yang berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 adalah dibenarkan untuk melaksanakan AGM dan mesyuarat seumpamanya bagi tahun ini bermula 1 Julai 2020.

"Jumlah ahli mesyuarat maksimum adalah seramai 250 orang dengan mengambil kira kapasiti ruang tempat mesyuarat dengan penjarakan sekurang-kurangnya satu meter," menurut kenyataan itu hari ini.

"Sukacita diingatkan agar badan sukan hendaklah sentiasa mematuhi arahan PKPP yang sedang berkuatkuasa, saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), nasihat Kementerian Belia dan Sukan (KBS), mematuhi SOP Pelaksanaan Majlis Kerajaan dan Swasta yang telah disediakan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta mengambil maklum aktiviti-aktiviti yang dilarang.

"Badan Sukan juga adalah disarankan untuk mengguna pakai aplikasi MySejahtera yang telah dibangunkan oleh kerajaan agar penilaian kesihatan ahli-ahli dapat dibuat bagi membolehkan KKM mengambil tindakan yang cepat sekiranya berlaku kes baru jangkitan COVID-19," tambah kenyataan itu.

Berita Harian X