X
Selasa, 30 Jun 2020 | 6:36pm
Kem latihan pusat program Road to Tokyo (RTT) yang berakhir hari ini. - Foto ihsan Instagram Atlet Malaysia Official
Kem latihan pusat program Road to Tokyo (RTT) yang berakhir hari ini. - Foto ihsan Instagram Atlet Malaysia Official

MSN lega atlet tak tertekan

KUALA LUMPUR: Kem latihan pusat program Road to Tokyo (RTT) yang berakhir hari ini disifatkan berjalan lancar meskipun Majlis Sukan Negara (MSN) khuatir ia memberi tekanan kepada atlet.

Ini susulan kesemua peserta yang terbabit bagi persiapan dan latihan untuk Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo tahun depan itu terpaksa dikuarantin dan tidak boleh keluar daripada tempat yang dikhaskan.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail bagaimanapun lega apabila semuanya berlangsung dengan baik dan atlet mengikuti semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"RTT program biasa dan latihannya seperti biasa. Cuma bila PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kita minta kelonggaran khas untuk membolehkan mereka berlatih luar daripada kebiasaan yang ditetapkan MKN (Majlis Keselamatan Negara).

"Jadi, kita buat latihan pusat untuk RTT, satu kumpulan kecil kerana kita tak mampu buat yang besar. Daripada kumpulan kecil itu, kita lakukan proses kuarantin yang turut membabitkan orang lain yang bukan altet bagi membantu mereka. Itu semua kita sudah selesaikan.

"Alhamdulillah, program berjalan lancar walaupun kita juga khuatir akan tekanan terhadap atlet kerana apabila dikuarantin di satu tempat, mereka tidak boleh keluar," kata Shapawi.

Bermula 5 Julai ini, MSN menerima lampu hijau daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memulakan semula latihan harian sepenuh masa bagi semua atlet di bawah program RTT, Program Podium dan Program Pelapis Kebangsaan secara berperingkat.

"Sekarang, kita sudah mula melonggarkan lagi dan (selepas ini) membabitkan atlet lain yang akan datang. Itu proses biasa, cuma kita masih kekalkan SOP pergerakan dan kawalan diri bagi memastikan bahawa peranan itu dapat dijaga oleh atlet bagi mengelak daripada jangkitan COVID-19.

"(Latihan) akan berjalan seperti biasa. Ia bukanlah satu program khusus, ia akan berjalan seperti latihan sepenuh masa. Pada saya tidak ada sesuatu yang berbeza (kem latihan pusat RTT), cuma ia dapat mempercepatkan program latihan khusus kepada atlet yang memerlukan latihan itu untuk kelayakan ke Olimpik," katanya.

Berita Harian X