Sabtu, 11 Julai 2020 | 7:15pm
Gambar fail, Riddick Bowe (kanan) sewaktu perlawanan menentang Evander Holyfield. - Foto AFP
Gambar fail, Riddick Bowe (kanan) sewaktu perlawanan menentang Evander Holyfield. - Foto AFP

Daripada juara heavyweight dunia menjadi pemandu lori

LONDON: Riddick Bowe pernah dinobatkan juara tinju heavyweight dunia, mempunyai kehidupan penuh mewah namun selepas bersara, perjalanan hidupnya tidaklah begitu indah seperti disangka.

Dia melalui kehidupan persaraan penuh liku dan pernah dihukum penjara 17 bulan kerana menculik keluarganya selain diarah supaya diisytiharkan muflis.

Bowe, 52, yang memenangi gelaran heavyweight dunia pada 1992 - sebelum ini pernah membuang tali pinggang kemenangan dalam tong sampah sebagai tanda protes kerana dipaksa memasuki gelanggang dengan Lennox Lewis.

Begitupun, Bowe yang dikenali 'Big Daddy' itu mempunyai rekod 43 kemenangan daripada 45 pertarungan di sepanjang kariernya. Dia hanya pernah merasai satu kekalahan dengan 33 keputusan KO.

Selepas bersara, legenda tinju mahu membanggakan ibunya dengan menyertai tentera laut namun berhenti selepas tiga hari latihan.

Pada 1998, dia cuba menyelamatkan perkahwinannya dengan menculik isterinya, Judy dan lima anak mereka yang tinggal berasingan - dengan mengugut menggunakan pisau, gari dan pita pelekat sebelum memaksa mereka memasuki kereta.

Ketika situasi itu, Bowe menikam isterinya di dada dan dikenakan hukuman penjara.

Bowe mengisytiharkan dirinya muflis pada 2005 sebelum membuat kemunculan semula dalam arena tinju - sebelum cuba beralih ke gelanggang gusti. Begitupun, Bowe membuat keputusan untuk beralih karier selaku pemandu lori dan bas bagi menanggung kehidupannya.

Riddick Bowe menjadi juara tinju heavyweight dunia pada 1992. Foto ihsan The Sun
Riddick Bowe menjadi juara tinju heavyweight dunia pada 1992. Foto ihsan The Sun

Riddick Bowe pernah menyertai latihan pasukan marin, namun hanya dapat bertahan selama tiga hari sebelum berhenti. Foto ihsan The Sun
Riddick Bowe pernah menyertai latihan pasukan marin, namun hanya dapat bertahan selama tiga hari sebelum berhenti. Foto ihsan The Sun

Dia pernah mengecapi zaman kegemilangan dan kemewahan, memiliki sebuah kediaman mewah dan tiga kereta berjenama Rolls Royces dan pengalaman dilaluinya itu harus dijadikan pedoman buat petinju baharu.

Berkongsi pengalamannya, Bowe berkata: "Kawal perbelanjaan dan bajet. Kawal pendapatan dan perbelanjaan. Sekiranya kamu tidak mempunyai pendapatan yang banyak, maka kamu kena lebih berhati-hati.

"Belajar supaya tidak boros. Jangan sesekali cuba membanggakan orang lain, jadi diri sendiri dan jalani kehidupan seperti biasa.

"Sebagai seorang petinju, kamu harus mempunyai sebuah rumah, kamu perlu mempunyai jurulatih, kamu harus membayar mereka dan kamu harus mempunyai seorang akauntan. Selain membina sebuah kediaman mewah, cubalah untuk duduk di rumah yang lebih kecil.

"Jangan menaiki pesawat peribadi sedangkan kamu boleh memandu kereta untuk sesuatu destinasi, jangan pergi ke kasino apabila tidak perlu, jangan memilih hotel mewah apabila kamu boleh menyewa di hotel sederhana. Lihat perbelanjaan kamu dan letakkan bajet."

- AGENSI

Berita Harian X