Jumaat, 31 Julai 2020 | 8:14pm
McGregor membuat ciapan `saya terima’ menerusi media sosial sehingga dianggap mungkin akan kembali bertarung di UFC. - Foto ihsan The Sun
McGregor membuat ciapan `saya terima’ menerusi media sosial sehingga dianggap mungkin akan kembali bertarung di UFC. - Foto ihsan The Sun

McGregor beri bayangan kembali bertarung

LONDON: Conor McGregor memberi bayangan untuk kembali ke UFC selepas berkongsi 'tweet' yang menimbulkan persoalan, semalam.

The Notorious mengumumkan persaraannya secara mengejut daripada MMA buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun, Jun lalu.

Bagaimanapun, dia dihujani dengan pelbagai tawaran dan penyokong teruja dengan 'tweet' terbaharunya di laman media sosial.

Jaguh berusia 32 tahun itu 'mengusik' mengenai kemunculan semula apabila menciap 'saya terima' di akaun Twitternya.

Mesej ringkas itu dipercayai merujuk kepada pelbagai perlawanan yang mungkin berlaku bermula dengan pertarungan menentang Tony Ferguson sehinggalah Justin Gaethje.

Kenyataan McGregor itu juga timbul hanya beberapa jam selepas Khamzat Chimaev memanggilnya untuk bertarung bersama beberapa bintang UFC yang lain.

Dia sebelum ini mendakwa berkunjung ke Ireland untuk 'membelasah' McGregor - namun ditahan oleh polis dan dimasukkan ke lokap.

Beberapa jam sebelum kenyataan McGregor, Chimaev membuat ciapan 'saya sudah bosan. Tolonglah Dana White supaya dapat berikan saya Nate Diaz, Jorge Masvidal atau Conor McGregor dalam satu malam.

"Saya boleh belasah mereka semua. Saya bukan berlagak tetapi saya yakin. Saya faham kalau mereka tidak mahu bertarung dengan saya."

Namun, ada yang beranggapan McGregor memberi maklum balas terhadap 'panggilan' Ferguson awal minggu ini. - AGENSI

Berita Harian X