Sabtu, 26 Ogos 2017 | 8:00pm
PELUMBA basikal trek negara menjalani latihan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Velodrom Nasional. - Foto Osman Adnan
PELUMBA basikal trek negara menjalani latihan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Velodrom Nasional. - Foto Osman Adnan

11 emas bukan mustahil

KUALA LUMPUR: Sasaran 11 pingat emas daripada keseluruhan 13 pingat emas yang dipertaruhkan dalam sukan berbasikal trek dilihat bukanlah misi mustahil.

Dengan saingan skuad berbasikal negara diketuai oleh jaguh berbasikal keirin dunia, Azizulhasni Awang, kemampuan pelumba negara dilihat jauh mengatasi pesaing dari Asia Tenggara yang lain.

Dalam saingan di Velodrom Nasional yang baru dibina di Nilai bermula hari ini, sandaran emas negara pastinya daripada acara keirin, pecut individu, pecut berpasukan, kejar mengejar berpasukan, 1 kilometer ujian masa, 500 meter ujian masa, omnium dan kejar mengejar individu.

Berdasarkan rekod sebelum ini, kali terakhir berbasikal trek dipertandingkan adalah di Jakarta pada tahun 2011. Malaysia ketika itu mengumpul tujuh pingat emas daripada 12 pingat emas daripada acara trek.

Pada temasya terdahulu di Korat 2007 apabila trek turut dipertandingkan turut menyaksikan negara mengumpul empat daripada 11 pingat emas yang dipertandingkan.

AZIZULHASNI (kanan) ketika menjalani latihan di Velodrom Nasional Nilai. - Foto Hazreen Mohamad
AZIZULHASNI (kanan) ketika menjalani latihan di Velodrom Nasional Nilai. - Foto Hazreen Mohamad

Berbanding kali terakhir berbasikal trek dipertandingkan, barisan pelumba basikal yang ditampilkan kali ini lebih berpengalaman dan masing-masing mempunyai kemampuan untuk menjadi lubuk emas kontinjen negara.

Pengurus pasukan Omar Saad berkata buat masa ini kesemua pelumba negara sudah membiasakan diri dengan trek velodrom yang berkelas dunia itu.

"Bagi saya pelumba kita boleh menghadiahkan kemenangan tetapi cabaran sebenar buat mereka adalah untuk mencipta rekod masa terbaik," katanya.

Malaysia yang mempertaruhkan gandingan Mohd Nur Aiman Mohd Zariff dan Eiman Firdaus Mohd Zamri dalam acara kejar mengejar berpasukan lelaki diharap dapat menamatkan kemarau pingat emas negara apabila kali terakhir memenanginya pada temasya 2007 di Thailand.

Sementara itu, memegang status sebagai raja keirin dunia, kemampuan Azizulhasni Awang untuk menghadiahkan dua pingat emas dalam Sukan SEA di tempat sendiri bukanlah menjadi masalah.

Selaku statusnya sebagai jaguh dunia, The Pocketrocketman itu akan turun beraksi dalam acara kegemarannya, keirin dan juga satu lagi acara pecut dalam pertandingan yang dijadualkan Isnin dan Selasa ini di Velodrom Nasional di Nilai.

AZIZULHASNI berbincang bersama jurulatihnya, John Beasley (kiri). - Foto Hazreen Mohamad
AZIZULHASNI berbincang bersama jurulatihnya, John Beasley (kiri). - Foto Hazreen Mohamad

"Alhamdulillah semuanya siap siaga. Saya akan melakukan yang terbaik bagi menghadiahkan kejayaan di depan khalayak sendiri," katanya yang juga pembawa Jalur Gemilang ketika majlis perasmian minggu lalu.

Azizulhasni berkata dia menjangkakan akan bertemu seorang lagi pelumba yang meningkat naik, Muhamad Shah Firdaus Sahrom di pusingan akhir acara pecut.

"Perlumbaan senior bertemu junior ini mengingatkan saya semula kepada Sukan SEA 2007 di Korat apabila saya ketika itu yang masih junior bertemu pelumba senior, Josiah Ng di final," katanya.

Ketika temasya itu, Azizulhasni memenangi pingat perak sementara Josiah merangkul emas.

Korat juga adalah kali terakhir yang menyaksikan Azizulhasni tampil pada temasya dwi tahunan itu dan memilih untuk menyertai Sukan SEA 2017 memandangkan ia diadakan di laman sendiri.

Berita Harian X