Jumaat, 15 September 2017 | 12:15am
Pemandu McLaren Honda, Fernando Alonso. - Foto NSTP/Osman Adnan

F1: Alonso bakal umum hala tuju dengan McLaren

SINGAPURA: Fernando Alonso masih menanti pengesahan McLaren sama ada akan bertukar daripada menggunakan enjin Honda ke Renault, sebelum dia sendiri menentukan masa depannya dalam dunia Formula Satu (F1).

McLaren dijangka untuk membuat pengumuman itu di Grand Prix Singapura yang bermula esok, untuk menamatkan perkongsian bermasalah selama tiga tahun bersama pengeluar Jepun itu dan mengadakan perjanjian baharu bersama Renault, bermula musim depan.

Alonso, yang memenangi dua kejuaraan dunia bersama Renault pada 2005 dan 2006, mengharungi musim kompetitif dengan terus bersama di McLaren. Kontrak pemandu ini akan tamat pada akhir musim.

Pemandu Sepanyol itu dijangka akan melanjutkan tempoh tiga tahun bersama pasukan itu, tetapi dia bagaikan mendedahkan sesuatu hari ini.

"Saya akan memikirkan mengenai pilihan yang terbaik," kata Alonso kepada pemberita.

"Seperti mana yang saya sudah katakan berkali-kali, apa yang saya lakukan tahun depan adalah kerana saya ingin menjadi pemenang. Pada masa sama saya ingin memberikan tempoh kepada pasukan.

"Selepas mereka (McLaren) membuat keputusan, saya pula akan membuat keputusan," kata pemandu 36 tahun itu.

Alonso menghabiskan masa tiga tahun ini dengan terperangkap di kelompok belakang pemandu.

Kali terakhir dia muncul juara adalah di laman sendiri, Grand Prix Sepanyol pada 2013 ketika bersama Ferrari tetapi hanya mengutip 75 mata sejak menyertai McLaren yang mula bekerjasama dengan Honda pada 2015.

Pemandu Sepanyol itu gagal menamatkan perlumbaan lebih baik berbanding tempat ke-10 ketika ini. - REUTERS

328 dibaca
Berita Harian X