Sabtu, 16 September 2017 | 11:43pm
PERLUMBAAN Karting Slalom lebih menitik beratkan kepada cara pemanduan berhemah dan selamat. - Foto Rosela Ismail
ANTARA cabaran yang perlu ditempuhi pemandu dalam perlumbaan Karting Slalom. - Foto Rosela Ismail
PEMANDU perlu memakai topi keledar, sarung tangan dan memakai tali pinggang keledar sebelum dibenarkan memandu. - Foto Rosela Ismail
KETUA Pegawai Eksekutif MAI, Datuk Mohamad Madani Sahari memandu uji Karting Slalom. - Foto Rosela Ismail

Karting Slalom jengah Malaysia

SERDANG: Adakah anda berada seorang pemandu yang hebat dan mahir mengendalikan go kart ?

Jom beramai-ramai uji kehebatan anda dengan menyertai perlumbaan Karting Slalom anjuran Institut Automotif Malaysia (MAI) sempena Malaysia Autoshow 2017 di MAEPS, Serdang, pada November depan.

Perlumbaan Karting Slalom yang kini semakin popular di luar negara terutama Jerman mempunyai keunikan tersendiri di mana pemenang bukan hanya ditentukan oleh siapakah yang paling laju memandu go kart, malah pelbagai aspek lain.

Apa yang membezakan perlumbaan Karting Slalom dengan go kart biasalah adalah ia lebih menitik beratkan kepada budaya pemanduan berhemah dan selamat.

Pemenang perlumbaan ini ditentukan bukan hanya berdasarkan catatan masa dan kelajuan tetapi memberi penekanan khusus kepada aspek pemanduan selamat dan kemahiran mengawal go kart supaya tidak melanggar kon mulai garisan permulaan hingga penamat nanti.

Karting Slalom juga lebih selamat kerana menggunakan go kart kapasiti enjin sembilan kuasa kuda (9hp) dengan kelajuan maksimum boleh mencecah 10 hingga 12km/j sahaja.


KARTING Slalom lebih selamat kerana menggunakan enjin berkapasiti rendah. - Foto Rosela Ismail

Yuran berpatutan

Bagaimanapun, sebelum dibenarkan memandu, pemandu diberikan panduan melalui klip video serta taklimat ringkas mengenai prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kaedah perlumbaan go kart berkenaan.

Antara SOP yang perlu dipatuhi termasuk memakai topi keledar, sarung tangan dan memakai tali pinggang keledar, selain sentiasa peka dengan isyarat bendera hijau, kuning dan merah.

Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Datuk Mohamad Madani Sahari, berkata perlumbaan berkenaan adalah terbuka kepada semua pengunjung Malaysia Autoshow 2017 berusia lapan tahun ke atas dengan bayaran yuran penyertaan serendah RM10 hingga RM30 bagi setiap penyertaan.

"Kita berharap perlumbaan ini akan meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia berusia lapan tahun ke atas mengenai cara pemanduan selamat dan memupuk budaya, sejak dari kecil lagi, bukannya hanya apabila kita mahu mengambil lesen memandu ketika berusia 17 tahun.

"Kita juga berharap perlumbaan ini dapat menjadi platform terbaik bagi mengenal pasti pelumba muda berbakat untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Info

Yuran penyertaan mengikut kategori :

  • RM10 - Kanak-kanak 8 hingga 13 tahun
  • RM20 - Remaja 14 hingga 18 tahun
  • RM30 - 18 tahun ke atas

Berita Harian X