Khamis, 23 November 2017 | 1:04pm
PEMANDU Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton sasar penamat kejayaan ke tahap tertinggi di Grand Prix Abu Dhabi.

Hamilton, Mercedes belum puas

ABU DHABI: Lewis Hamilton dan pasukannya Mercedes menyasarkan untuk menamatkan musim yang sudah dipenuhi kejayaan di tahap tertinggi ketika pasukan lain masih mengejar mata, kedudukan dan wang hadiah pada penamat musim perlumbaan dekat Grand Prix Abu Dhabi.

Perlumbaan terakhir di Yas Marina itu lebih kepada pertarungan mempertahankan maruah buat pasukan pertengahan dan bawah ketika mereka mahu menamatkan kedudukan di kedudukan terbaik dan menambah peruntukan untuk 2018.

Hamilton sudah mengesahkan gelaran dunia buat kali keempat dan Mercedes meraih kejuaraan pengeluar buat kali keempat berturut-turut, namun ketua pasukan, Toto Wolff berkata pasukan itu berazam menang di Abu Dhabi buat kali keempat berturut-turut.

"Tanpa mengira apa yang ada dalam kabinet trofi di pangkalan kami, fokus kami sentiasa untuk perlumbaan seterusnya dan kejuaraan berikutnya," katanya.

"Sasaran kami di Abu Dhabi agak mudah: menampilkan aksi terbaik, memungut paling maksimum daripada 'diva' kami dalam perlumbaan terakhir dan menang.

"Kami menyaksikan kepantasan yang bagus di Mexico dan Brazil, di litar yang kami jangkakan akan lebih bergelut, dan ini adalah tanda positif terhadap peningkatan yang kami lakukan dalam memahami kesukaran yang kami hadapi musim ini.

"Tapi kami tidak berada di podium utama sejak menang di Austin dan kami berazam untuk mengubahnya di Abu Dhabi."

Hamilton adalah pemenang di Texas sebulan lalu dan sama seperti bos pasukan itu, mahu menamatkan musim dengan mencari kemenangan ke-10 musim ini.

"Saya akan memberikan segala-galanya di Abu Dhabi," kata pemandu Britain itu yang mengatasi pencabar utamanya Max Verstappen dari Red Bull dan Sebastian Vettel dari Ferrari dalam dua perlumbaan terakhir. - AFP

Berita Harian X